
KUALA LUMPUR, 20 November – Majlis Sukan Negara (MSN) mempertingkat persiapan skuad padel negara menjelang temasya Sukan SEA 2027 menerusi penyaluran elaun serta penyediaan ruang latihan dan fasiliti buat barisan pemain.
- Perbincangan dengan MSN bertujuan memperolehi sokongan menyeluruh bagi memacu prestasi padel negara.
- Bantuan dicadangkan meliputi pelan latihan fizikal, pemakanan, sokongan psikologi dan pemilihan jurulatih berwibawa.
- Proses pemilihan selesai; Chin dan Aidan disahkan, MPA rancang sertai lebih kejohanan FIP 2027 bagi pendedahan dan sasar pingat emas.
Presiden Persatuan Padel Malaysia (MPA), Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah berkata, sesi perbincangan bersama pihak MSN yang diadakan pagi tadi bertujuan mendapatkan bantuan dan sokongan menyeluruh bagi memacu prestasi sukan berkenaan.
“Sesi perbincangan pada pagi ini tertumpu kepada bentuk bantuan kewangan yang boleh disalurkan kepada pemain bersempena Sukan SEA 2027.
“Bantuan ini bukan sahaja merangkumi elaun kewangan, malah sokongan menyeluruh termasuk penyediaan pelan latihan fizikal, pemakanan, psikologi serta pemilihan jurulatih yang berwibawa,” katanya ketika ditemui pemberita di MSN, Bukit Jalil, hari ini.
Menurut beliau, penyediaan lokasi latihan oleh MSN membolehkan MPA menjimatkan kos operasi memandangkan sebelum ini para pemain terpaksa menjalani latihan di gelanggang sewaan luar.
Tambahnya, sokongan padu daripada MSN itu menjadi suntikan semangat buat atlet negara untuk meningkatkan keupayaan mereka sebelum beraksi di pentas antarabangsa.
Dalam pada itu, Tengku Datuk Seri Abu Bakar memaklumkan proses pemilihan pemain telah dijalankan melibatkan dua kategori iaitu Beregu Lelaki dan Beregu Wanita.
Beliau turut mengesahkan gandingan pemenang pingat perak acara beregu lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 lalu, Christian Didier Chin dan Aidan Yunus, akan membarisi skuad kebangsaan.
MPA juga merancang untuk menambah penyertaan pemain dalam kejohanan di bawah kelolaan Persekutuan Padel Antarabangsa (FIP) sepanjang tahun 2027 bagi memberikan pendedahan kompetitif yang lebih kerap, sekali gus merealisasikan misi memburu pingat emas pada Sukan SEA 2027.