Malaysia-China perkukuh kerjasama kajian peradaban Islam dan Konfusianisme

Foto RTM

SHENZHEN, 20 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap kesediaan Presiden China, Xi Jinping yang meneliti gagasan Malaysia MADANI serta bersetuju memperkukuh kerjasama kajian dan persefahaman antara peradaban Islam dan Konfusianisme.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri memberi jaminan institusi pengajian tinggi Malaysia akan memberikan kerjasama penuh bagi menjayakan inisiatif kajian peradaban.
  • China menghormati pendekatan Malaysia memartabatkan nilai peradaban dan kebudayaan, menunjukkan hubungan meliputi persefahaman intelektual dan ketamadunan.
  • Pertemuan dua hala di Shenzhen merupakan lawatan kerja tiga hari Datuk Seri Anwar sempena menghadiri Mesyuarat Pemimpin APEC ke-33.
  • Dalam lawatan, beliau menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak CEO APEC, menyertai Dialog Perdagangan Malaysia-China, dan mengadakan pertemuan dua hala lain.

Datuk Seri Anwar menyifatkan langkah pemimpin sebuah negara kuasa besar bukan majoriti Islam itu sebagai satu penghormatan yang jarang berlaku,
selain memberi jaminan institusi pengajian tinggi di Malaysia akan memberikan kerjasama penuh bagi menjayakan inisiatif berkenaan.

“Jarang berlaku dari satu negara bukan Islam yang majoritinya besar, mengambil keputusan menghormati pandangan kita dan bersetuju meneruskan kerjasama dalam mengkaji, memuliakan dan meningkatkan persefahaman peradaban Islam dan kebudayaan.

“Saya memberi jaminan kita akan berikan segala kerjasama dengan universiti menerusi beberapa langkah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Xi di sini hari ini.

Beliau berkata, kesediaan China menghormati pendekatan Malaysia dalam memartabatkan nilai peradaban dan kebudayaan membuktikan hubungan erat kedua-dua negara bukan sahaja tertumpu kepada aspek ekonomi, malah merangkumi persefahaman intelektual dan ketamadunan.

Perdana Menteri berada di Shenzhen dalam rangka lawatan kerja tiga hari bermula 18 November lepas bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Asia Pasifik (APEC) ke-33.

Pertemuan dua hala dengan Xi di Rumah Tamu Negara Qilin Villa hari ini merupakan pertemuan rasmi keempat antara kedua-dua pemimpin selepas tiga pertemuan terdahulu masing-masing berlangsung di Beijing pada 7 November 2024, Putrajaya pada 16 April 2025 dan Beijing pada 2 September 2025.

Pertemuan itu melabuhkan tirai lawatan kerja Datuk Seri Anwar di bandar raya hab teknologi China itu.

Turut mengiringi Perdana Menteri dalam pertemuan tersebut ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; pegawai kanan Kementerian Luar dan Pejabat Perdana Menteri serta Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.

Sepanjang berada di Shenzhen, Datuk Seri Anwar turut menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC, menyertai Dialog
Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China, serta mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin termasuk Perdana Menteri New
Zealand, Christopher Luxon dan Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee Ka-Chiu.

Malaysia merupakan antara 12 ekonomi pengasas APEC pada 1989.

Dianggotai 21 ekonomi di Lingkaran Pasifik, blok kerjasama serantau itu mewakili hampir 40 peratus populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.