
KUALA LUMPUR, 9 Mei – Kumpulan Kersanipuri, pemantun Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya merangkul tempat ketiga menerusi pertandingan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026.
- Johan dan naib johan akan diumumkan pada kemuncak HAWANA 2026 di Pulau Pinang pada 20 Jun, disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- TV3 dan BERNAMA mara ke pertandingan akhir untuk merebut gelaran juara.
- Pertandingan bertemakan Kewartawanan dan Teknologi, disertai lapan pasukan agensi dan media utama.
Kemenangan itu melayakkan Kersanipuri membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta trofi.
Sementara itu, Berita Harian meraih tempat keempat, manakala TV3 dan Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) mara ke pertandingan akhir bagi merebut gelaran juara.
Bagaimanapun, keputusan johan dan naib johan hanya akan diumumkan pada kemuncak sambutan HAWANA 2026 di Pulau Pinang pada 20 Jun ini, yang dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bertemakan Kewartawanan dan Teknologi, pertandingan anjuran Bernama dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu, menyaksikan penyertaan lapan pasukan yang terdiri daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), TV3, Astro Audio News, Berita Harian, Sinar Harian, Media Selangor dan BERNAMA.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama yang juga Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak.
Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 adalah acara kedua selepas Forum Media HAWANA pada Khamis, berlangsung hari ini di Panggung Sari, Kompleks Kraf, menjadi program pengisian menjelang kemuncak sambutan HAWANA 2026 yang akan diadakan di Pulau Pinang pada 20 Jun ini.