MARA Prihatin 2026 perkasa pelbagai bidang, perluas manfaat kepada masyarakat

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan para pelajar selepas melancarkan MARA Prihatin Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Politeknik Maritim Sultan Azlan Shah. Foto BERNAMA

BAGAN DATUK, 9 Mei – Program Majlis Amanah Rakyat (MARA) Prihatin 2026, manifestasi berterusan agensi tersebut dalam memperkasakan pelbagai bidang, termasuk pendidikan, kebajikan, pembangunan komuniti dan keusahawanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif nasional memberi manfaat kepada hampir 100,000 penerima dengan peruntukan RM12.5 juta.
  • Kerjasama strategik antara YPM, GiatMARA, Rural Capital, IPMA serta rakan industri meningkatkan liputan program.
  • Bantuan disalurkan: sumbangan pendidikan, program SERI, latihan TVET, serta bantuan takaful dan kebajikan kepada pelajar dan asnaf.
  • Pelaksanaan akan diteruskan di Gerik dan Padang Besar bagi memperluas manfaat kepada komuniti seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif berskala nasional itu turut menjadi platform pemerkasaan masyarakat dalam menghadapi cabaran ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik dunia ketika ini.

Tambah beliau, dengan peruntukan sebanyak RM12.5 juta, program tersebut dijangka mampu memberi manfaat kepada hampir 100,000 penerima di seluruh negara.

“Ia akan melibatkan golongan pelajar, ibu bapa, guru, masyarakat setempat, agensi kerajaan, penaja korporat dan usahawan tempatan.

“Jadi, makna keterangkuman keseluruhan dalam MARA menangani permasalahan rakyat yang mendapat pinjaman ataupun bantuan daripada MARA dalam situasi geopolitik Asia Barat yang tidak menentu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran MARA Prihatin Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Politeknik Maritim Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelaksanaan MARA Prihatin 2026 melibatkan kerjasama strategik antara Yayasan Pelajaran MARA (YPM), GiatMARA, Rural Capital Berhad (RCB), Institusi Pendidikan MARA (IPMA) serta pelbagai rakan industri dan sektor korporat .

Terdahulu pada majlis pelancaran MARA Prihatin, seramai 2,946 pelajar menerima sumbangan pendidikan bernilai lebih RM560,000 daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

Turut disampaikan, cek simbolik bagi pelaksanaan Program Selenggaraan
Elektrik Rumah Impian (SERI) serta Program Latihan TVET Komuniti oleh GIATMARA dengan jumlah peruntukan sebanyak RM625,000.

Selain itu, bantuan perlindungan takaful pelajar, bantuan kebajikan asnaf dan Program Tuisyen Pintar Bagan Datuk turut diagihkan menerusi Rural Capital Berhad melibatkan peruntukan lebih RM61,000.

Dalam pada itu, YPM turut menerima sumbangan daripada penaja dan pihak korporat berjumlah lebih RM10.53 juta bagi menyokong agenda pendidikan negara.

Sementara itu, pelaksanaan MARA Prihatin 2026 dijangka memberikan impak besar kepada pelajar dan keluarga berpendapatan rendah menerusi bantuan kewangan, akses pendidikan, maklumat hala tuju pengajian serta peluang pembangunan kemahiran.

Program MARA Prihatin akan diteruskan di Gerik, Perak dan Padang Besar, Perlis sebagai usaha memperluas manfaat kepada lebih ramai komuniti di seluruh negara.