Pelaksanaan biodiesel B15 di landasan tepat, bermula 1 Jun

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ditemui pemberita selepas menjadi panel di Forum Krisis Tenaga 2026 sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Universiti Malaya (UMES) di ibu negara/RTM

KUALA LUMPUR, 9 Mei –Pelaksanaan campuran biodiesel B15 yang dijadual bermula 1 Jun ini berada pada landasan tepat dengan tahap kesiapsiagaan industri yang memberangsangkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mempunyai struktur jelas melalui jawatankuasa bio bahan api untuk membincangkan dan melaksanakan dasar biodiesel secara menyeluruh.
  • Perancangan mengambil kira keseluruhan rantaian bekalan supaya biodiesel disalurkan lancar sehingga ke stesen minyak dan pengguna.
  • Pelaksanaan B15 diharap memperkukuh bekalan bahan api negara serta berpotensi menstabilkan dan menurunkan kos diesel dalam jangka panjang.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keyakinan itu didorong dengan sokongan semua pihak yang memahami keperluan memperkukuh bekalan biodiesel negara bagi memastikan kelangsungan bekalan diesel untuk jangka panjang.

“Kerajaan telah mempunyai struktur yang jelas menerusi jawatankuasa bio bahan api bagi membincangkan pelaksanaan ini secara menyeluruh.

“Perancangan ini mengambil kira keseluruhan rantaian bekalan bagi memastikan biodiesel dapat disalurkan kepada pengguna dengan lancar, bukan sahaja di peringkat pengeluaran tetapi sehingga ke stesen minyak.

“Perkara ini telah diteliti dari semua sudut dan komitmen yang ditunjukkan oleh agensi serta kementerian terlibat amat baik,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel di Forum Krisis Tenaga 2026 sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Universiti Malaya (UMES).

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, pelaksanaan pengeluaran biodiesel B15 akan dimulakan menerusi 19 loji di seluruh negara pada 1 Jun ini.

Pelaksanaan inisiatif penting dalam usaha memperkukuh bekalan bahan api negara, selain berpotensi membantu menstabilkan serta menurunkan kos diesel dalam jangka panjang.