Portal sehenti PKS dilancarkan bulan ini – Steven Sim

Foto BERNAMA

BUKIT MERTAJAM, 9 Mei – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal melancarkan portal sehenti untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bulan ini bagi memudahkan akses kepada maklumat berkaitan pembiayaan, latihan dan pelbagai program sokongan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maklumat dana dan program PKS tersebar di lebih 60 agensi, menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengusaha.
  • Kerajaan memperuntukkan RM50 bilion melalui Belanjawan 2026 dan tambahan RM10 bilion, jumlah keseluruhan RM60 bilion untuk sektor PKS.
  • Usaha memperluas akses pembiayaan termasuk kerjasama bank dan firma ekuiti persendirian, namun isu tadbir urus dan kesiapsiagaan PKS perlu ditangani.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif itu diambil susulan kekeliruan dalam kalangan pengusaha PKS mengenai penyebaran maklumat dana dan program yang kini dikendalikan oleh lebih 60 agensi kerajaan.

“Melalui portal tersebut, segala bentuk bantuan merangkumi pembiayaan, latihan, dan dasar kerajaan akan disepadukan.

“Kerajaan telah memperuntukkan sumber yang besar termasuk RM50 bilion melalui Belanjawan 2026 dan tambahan RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, menjadikan keseluruhan RM60 bilion untuk sektor PKS.

“Namun masalahnya, ia tersebar di pelbagai agensi. Ada usahawan, khususnya peniaga kecil, tidak tahu hendak mencari di mana, program apa yang ada, polisi apa dan sumber pembiayaan yang tersedia,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama-sama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) serta usahawan di Bukit Mertajam.

Terdahulu dalam sesi dialog tersebut, beliau memaklumkan, kerajaan sedang giat membuka lebih banyak ruang pembiayaan bukan sahaja melalui pinjaman, malah menerusi kerjasama dengan sektor perbankan dan modal swasta bagi membantu PKS meningkatkan kapasiti serta daya saing.

Pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil pelbagai persatuan PKS, dewan perniagaan dan ketua pegawai eksekutif bank bagi membincangkan langkah memperkukuh ekosistem pembiayaan sektor itu.

“Kerajaan mahu membantu PKS berkembang dan meningkatkan daya saing, namun pada masa sama aspek tadbir urus perlu dipastikan supaya bantuan yang diberikan benar-benar dimanfaatkan secara berkesan,” katanya.

Kementeriannya turut mengadakan sesi libat urus dengan institusi perbankan dan firma ekuiti persendirian (PE) bagi mencari kaedah memperluas akses pembiayaan untuk PKS.

Beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan firma PE ialah tahap kesiapsiagaan sesetengah PKS tempatan untuk menerima pelaburan ekuiti serta cabaran berkaitan tadbir urus syarikat keluarga.

“Firma PE menyatakan mereka mahu membantu PKS berpotensi, namun terdapat cabaran dari segi struktur syarikat dan penerimaan terhadap pegangan ekuiti luar,” katanya.