
KUALA LUMPUR, 15 Jun– Krisis di Selat Hormuz mendorong banyak syarikat menilai semula strategi operasi dan rantaian bekalan masing-masing.
- Kerajaan dan perniagaan kini lebih bersedia, dengan simpanan strategik, bekalan simpanan dan pelan pengurusan krisis yang ditambah baik.
- Syarikat menitikberatkan daya tahan perniagaan dan keselamatan rantaian bekalan selain kecekapan dan kos operasi.
- Langkah praktikal termasuk mempelbagaikan pembekal, meningkatkan stok simpanan dan menggunakan laluan pengangkutan alternatif, pendekatan ini dijangka dikekalkan.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Abdolreza Alami berkata, kerajaan dan sektor perniagaan kini berada pada tahap kesiapsiagaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Banyak negara mempunyai simpanan strategik sendiri. Syarikat pula mempunyai bekalan simpanan dan pelan pengurusan krisis yang lebih baik berbanding masa lalu,” katanya.
Menurut beliau, krisis berkenaan menjadi peringatan bahawa faktor geopolitik perlu diambil kira dalam perancangan perniagaan.
Katanya, syarikat tidak lagi hanya memberi tumpuan kepada kecekapan dan kos operasi.
Sebaliknya, mereka turut mengutamakan daya tahan perniagaan serta keselamatan rantaian bekalan.
“Antara langkah yang diambil termasuk mempelbagaikan pembekal, meningkatkan stok simpanan dan menggunakan laluan pengangkutan alternatif,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, walaupun ketegangan berjaya diredakan dan Selat Hormuz kembali beroperasi seperti biasa, banyak syarikat dijangka mengekalkan pendekatan baharu tersebut bagi mengurangkan risiko pada masa hadapan.