SUKMA 2026: Platform terbaik cungkil bakat baharu

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad /RTM

PETALING JAYA, 9 MeiTemasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dijadualkan berlangsung Ogos ini bakal menjadi medan penting bagi Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengenal pasti bakat muda berpotensi untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prestasi pemain akan dipantau rapi berikutan kalendar ragbi negara yang padat dengan kejohanan besar.
  • Program Pembangunan Ragbi Negara meningkatkan kualiti pemain muda dan melahirkan bakat baharu dari seluruh negara.
  • SUKMA memberi peluang menilai dan mengenal pasti pemain berpotensi untuk diserap ke dalam pasukan kebangsaan.
  • Persiapan memasuki fasa akhir; negeri memuktamadkan senarai pemain sebelum dihantar kepada Majlis Sukan Negara.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad berkata, prestasi pemain pada temasya itu nanti akan dipantau rapi memandangkan kalendar ragbi negara tahun ini sangat padat dengan penglibatan dalam kejohanan besar seperti Sukan Asia dan Kejohanan Ragbi 15 Sebelah Asia Tenggara.

Beliau turut menyifatkan kualiti pemain muda kini semakin meningkat hasil keberkesanan Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) yang berjaya melahirkan bakat-bakat baharu dari seluruh negara.

“Ini merupakan satu peluang kepada pihak Malaysia Rugbi untuk menilai dan mengenal pasti pemain-pemain yang berpotensi, yang suatu hari nanti boleh dipilih untuk menyertai cabaran bersama pasukan Ragbi Kebangsaan.

“Perkembangan ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam usaha memperkukuh pembangunan ragbi di tanah air, selain membawa perspektif baharu dalam kalangan pemain untuk tampil lebih menyerlah,” katanya selepas ditemui pada perlawanan Piala Agong edisi ke-42 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa persiapan bagi menghadapi SUKMA yang bakal berlangsung di Stadium Kota Raja, Klang itu kini memasuki fasa terakhir dengan proses pmemuktamadkan senarai pemain oleh setiap negeri sedang dijalankan sebelum dihantar kepada Majlis Sukan Negara (MSN).