
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Cadangan memperluaskan komponen indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) daripada 30 kepada 50 konstituen berpotensi mewujudkan peluang pelaburan baharu, selain menjadikan indeks itu lebih seimbang dan mencerminkan struktur ekonomi negara yang semakin pelbagai.
- Keputusan muktamad dijangka diumumkan Bursa Malaysia dan FTSE Russell seawal Disember 2026.
- Peluasan akan mendorong pembelian oleh dana penjejaki indeks, membuka peluang bagi pelabur mengambil kedudukan awal.
- Sektor teknologi dan semikonduktor dijangka mendapat manfaat, dengan syarikat seperti ViTrox, Malaysian Pacific Industries dan Inari Amertron berpotensi dimasukkan.
Menurut firma pembrokeran Rakuten Trade, keputusan muktamad mengenai cadangan tersebut dijangka akan diumumkan oleh Bursa Malaysia dan FTSE Russell seawal Disember 2026.
Ketua Penyelidikannya Kenny Yee, berkata sekiranya cadangan itu diteruskan, ia bakal membuka ruang kepada pelabur untuk mengambil kedudukan lebih awal sebelum berlakunya aliran modal yang didorong oleh penstrukturan semula indeks.
”Sekiranya peluasan itu diluluskan, kesan paling ketara ialah peningkatan pembelian oleh dana-dana yang menjejaki indeks, kerana mereka diwajibkan memegang saham-saham baharu yang dimasukkan ke dalam FBM KLCI.
“Kita berpotensi melihat kemasukan semula beberapa saham yang pernah menjadi kegemaran pasaran seperti Westports Holdings, Dialog Group dan Genting Malaysia, selain beberapa syarikat terpilih dalam sektor hartanah dan sarung tangan getah,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, peluasan indeks itu dijangka mengubah komposisi sektor dalam FBM KLCI yang ketika ini didominasi oleh sektor kewangan yang menyumbang kira-kira 35 peratus, manakala kebanyakan sektor lain hanya mewakili antara tiga hingga 11 peratus.
“Walaupun kesan pencairan terhadap saham perbankan dijangka tidak terlalu besar pada peringkat awal, kami percaya ini adalah permulaan kepada pembentukan indeks yang lebih komprehensif dan kukuh dari sudut struktur,” katanya.
Pada masa sama, sektor teknologi yang semakin penting dalam rantaian bekalan global dianggap sebagai antara penerima manfaat utama sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan.
Jelasnya, ia merupakan perkembangan yang menggalakkan sekiranya lebih banyak syarikat teknologi dimasukkan ke dalam indeks yang berkemungkinan diterajui oleh ViTrox Corp, Malaysian Pacific Industries dan Inari Amertron.
“Ekosistem semikonduktor Malaysia telah membuktikan peranannya dan layak mendapat tempat dalam indeks utama negara,” katanya.