Tenis Terbuka Perancis : Mensik lakar kejutan, mara ke suku akhir

Pemain tenis Republik Czech, Jakub Mensik / AFP

PARIS, 1 Jun – Pemain muda Republik Czech, Jakub Mensik, melakar kejutan terbesar pada kejohanan tenis Terbuka Perancis apabila menyingkirkan pemain pilihan ke-11 dari Rusia, Andrey Rublev, dalam aksi sengit lima set untuk menempah slot suku akhir pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mensik, 20, menang 6-3, 7-6 (8/6), 4-6, 2-6, 6-3 setelah perlawanan lima set.
  • Dia kata perlawanan amat sukar; walaupun mendahului 2-0 dia terasa seperti tewas sebelum bangkit pada set kelima.
  • Mematahkan servis penting pada permainan kelapan set terakhir dan menamatkan dengan ace pada mata perlawanan selepas 3 jam 45 minit.

Mensik, 20, mempamerkan ketahanan mental yang tinggi di Gelanggang Suzanne Lenglen untuk mencatatkan kemenangan 6-3, 7-6 (8/6), 4-6, 2-6, 6-3 ke atas pemain ranking ke-13 dunia itu.

Kemenangan berkenaan sekali gus membolehkannya bakal bertemu pemain remaja Brazil, Joao Fonseca.

“Bagi saya ia amat sukar. Walaupun mendahului 2-0, ada ketikanya saya rasa seperti sedang tewas.

“Saya cuma gembira kerana pada set kelima saya berjaya bangkit, mendapatkan semula momentum dan menamatkan perlawanan seperti yang diharapkan,” kata Mensik selepas perlawanan.

Dalam aksi itu, Rublev mendahului 3-0 pada set pertama sebelum Mensik bangkit memenangi enam permainan berturut-turut untuk merangkul set pembukaan.

Meskipun servisnya dipatahkan pada kedudukan 5-4 di set kedua, pemain Czech itu mempamerkan ketenangan untuk memenangi pusingan tie-break menerusi pukulan backhand yang mengelirukan Rublev.

Bagaimanapun, Rublev bangkit memenangi set ketiga dan keempat selepas permainan servis kedua-dua pemain mula goyah, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentu.

Mensik akhirnya menemui semula rentak servis bertenaganya dan berjaya mematahkan servis penting Rublev pada permainan kelapan di set terakhir, sebelum melakukan pukulan ace kencang pada mata perlawanan pertama untuk menutup saingan selepas bertarung selama tiga jam 45 minit. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.