
RIO DE JANEIRO, 1 Jun – Juara dunia lima kali, Brazil memamerkan aksi mantap apabila membelasah Panama 6-2 dalam perlawanan persahabatan terakhir mereka di tanah air sebelum berlepas ke kempen Piala Dunia, di Stadium Maracana pada Ahad.
- Vinicius Jr dan Casemiro berkombinasi menjaringkan gol awal, termasuk gol pembukaan Vinicius dan tandukan Casemiro sebelum separuh masa.
- Ancelotti membuat pertukaran besar pada babak kedua yang menghasilkan tiga gol pantas termasuk jaringan remaja Rayan, Paqueta dan penalti Igor Thiago.
- Brazil akan berdepan Mesir di Cleveland sebelum menentang Maghribi pada 13 Jun; mereka diundi bersama Maghribi, Haiti dan Scotland.
Bintang Real Madrid, Vinicius Jr, meletakkan juara dunia lima kali itu di hadapan seawal minit pertama perlawanan selepas menyambut hantaran pemain tengah veteran, Casemiro, sebelum melepaskan rembatan kencang dari jarak 25 ela.
Bagaimanapun, Panama mengejutkan tuan rumah pada minit ke-14 untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Michael Murillo yang terbias pada badan Matheus Cunha sebelum menerjah jaring menewaskan penjaga gol Brazil, Alisson.
Kombinasi mantap antara Vinicius dan Casemiro sekali lagi membuahkan hasil apabila Brazil berjaya mendahului semula enam minit sebelum rehat babak pertama, menerusi tandukan Casemiro hasil hantaran lintang Vinicius.
Bersambung babak kedua, ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, melakukan rombakan besar-besaran dengan menukarkan kesemua kesebelasan utamanya kecuali pertahanan, Leo Pereira.
Pertukaran drastik itu ternyata membuahkan hasil apabila skuad Selecao meledak tiga gol pantas bermula dengan jaringan pemain remaja berusia 19 tahun yang beraksi bersama Bournemouth, Rayan, pada minit ke-53 selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Panama, Orlando Mosquera.
Lucas Paqueta kemudian menambah duka Panama dengan gol keempat pada minit ke-60, sebelum Igor Thiago menjadikan kedudukan 5-1 menerusi sepakan penalti tiga minit kemudian selepas beliau dikasari oleh Mosquera.
Pemain Botafogo, Danilo, melengkapkan pesta gol Brazil pada minit ke-81 selepas tenang mengawal hantaran jauh Paqueta sebelum memperdayakan pertahanan lawan untuk gol keenam pasukan.
Panama bagaimanapun berjaya memperoleh gol saguhati di lewat perlawanan menerusi rembatan deras jarak jauh Carlos Harvey dari jarak 30 ela bagi mengubah keputusan muktamad menjadi 6-2.
Brazil dijadualkan menentang Mesir dalam satu lagi aksi persahabatan terakhir di Cleveland, Ohio pada Sabtu ini, sebelum membuka tirai saingan Kumpulan C Piala Dunia menentang Maghribi pada 13 Jun.
Selain Maghribi, skuad bimbingan Ancelotti itu turut diundi bersama Haiti dan Scotland dalam pusingan pertama kejohanan berprestij berkenaan. – AFP