
KUALA LUMPUR, 9 Mei –Kelantan memulakan kempen Kumpulan A Piala Agong 2026 dengan langkah kanan apabila melakar kejutan menewaskan juara bertahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 26-24 dalam aksi pembukaan di Padang B, Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
- Kelantan mempamerkan aksi agresif awal, mendahului besar dan mengawal permainan sehingga rehat.
- Gandingan Muhammad Nafis, Muhammad Azwan Zuwairi dan Muhamad Shah Izwan menjadi teras pengumpul mata buat Kelantan.
- PDRM cuba bangkit pada separuh masa kedua; dua try Peniasi Damu V Rogata dan satu conversion Amirul Aqil gagal menukar keputusan.
- Jurulatih Mohd Syazwan anggap kemenangan suntikan motivasi, namun ingatkan pasukan perlu baiki banyak kelemahan sebelum lawan Terengganu.
Skuad kendalian Mohd Syazwan Abu Bakar itu mempamerkan aksi agresif sejak awal permainan dengan mendahului 13-0, sebelum menamatkan babak pertama dengan kelebihan selesa 23-12.
Kemenangan Kelantan banyak dibantu oleh gandingan mantap Muhammad Nafis Mohd Salleh, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi dan Muhamad Shah Izwan Nordin yang memainkan peranan penting dalam mengumpul mata buat pasukan Pantai Timur itu.
PDRM, yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Dinesvaran Krishnan, cuba bangkit pada separuh masa kedua untuk merapatkan jurang.
Dua jatuhan try oleh pemain sayap, Peniasi Damu V Rogata selain satu conversion disempurnakan Muhammad Amirul Aqil Kamsol masih gagal untuk menghalang Kelantan daripada merekodkan kemenangan ke atas PDRM.
Sementara itu,Jurulatih Kelantan, Mohd Syazwan Abu Bakar menyifatkan kemenangan itu sebagai satu suntikan motivasi yang amat bermakna buat pasukannya.
Namun mengingatkan para pemainnya bahawa masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki pasukannya menjelang pertemuan menentang Terengganu.
“Walaupun kami menang dengan juara bertahan, perjalanan kami masih jauh. Kami perlu menambah baik permainan kami untuk perlawanan yang seterusnya menentang Terengganu”, katanya.
Ujar Syazwan, taktikal dan perancangan yang direncana oleh pasukan tersebut berjaya diterjemahkan dengan baik oleh anak-anak buahnya.
“Saya rasa hari ini pemain kami bermain agak baik pada mulanya dan berjaya menahan beberapa asakan. Pemain saya memberikan komitmen dan tumpuan 100 peratus sampai kami habiskan permainan ini.
“Sekali lagi, kredit kepada semua pemain saya,” katanya selepas perlawanan itu di sini, hari ini.