Tabung Kasih@HAWANA: Datuk Fahmi santuni Ketua Pengarang Melaka Hari Ini

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil (kanan) beramah mesra dengan Bekas Ketua Pengarang Melaka Hari Ini Ishak Mohamed Salleh, 65, pada majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, di Melaka/BERNAMA

MELAKA, 9 Mei – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas Ketua Pengarang Melaka Hari Ini, Ishak Mohamed Salleh ketika menziarahi beliau di kediamannya di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fahmi menegaskan wartawan bertanggungjawab bukan sekadar melaporkan, tetapi mengolah maklumat untuk mendorong tindakan dan perubahan kerajaan.
  • Beliau mendoakan Ishak terus sihat, kekal aktif dan menjadi contoh terutama bagi wartawan generasi baru.
  • Ishak menghargai inisiatif HAWANA kerana mengiktiraf peranan wartawan dan memberi harapan kepada wartawan muda.

Beliau menegaskan, wartawan mempunyai tanggungjawab dan peranan penting dalam membuat liputan dan melaporkan sesuatu isu, serta mengolah maklumat berdasarkan pemerhatian dan pandangan mereka.

“Saya menegaskan kembali bahawa wartawan mempunyai satu tanggungjawab dan satu tugas yang penting bukan hanya untuk menyaksi dan melaporkan.

Tetapi mengolah juga berdasarkan pengamatan pandangan mereka supaya boleh dilaksana beberapa tindakan dan perubahan oleh pihak Kerajaan.

“Terima kasih Encik Ishak dan saya mendoakan beliau terus sihat, kekal aktif dan menjadi contoh terutama buatwartawan generasi baru,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas Ketua Pengarang Melaka Hari Ini Ishak Mohamed Salleh, 65, yang berdepan dengan cabaran kesihatan, di kediamannya di Taman Bukit Cheng, di sini.

Ishak Mohamed Salleh berdepan cabaran kesihatan termasuk diabetes dan penyakit saraf yang menyebabkan kehilangan deria rasa pada bahagian kanan tubuhnya.

“Bagi saya, usaha yang dilaksanakan menerusi HAWANA amat dihargai kerana suatu ketika dahulu, golongan wartawan kurang diberi perhatian. Namun, dengan adanya inisiatif seperti ini, kami merasakan bahawa peranan wartawan semakin dihargai.

“Bagi wartawan muda pula, mereka akan melihat bahawa bidang kewartawanan ini kini lebih dihargai dan diiktiraf,” kata Ishak.