BDR, kelegaan yang bersulamkan cabaran

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • BDR memberi kelegaan tetapi menyebabkan keletihan mental akibat multitasking antara kerja pejabat, anak dan kerja rumah.
  • Urus masa dan tugas jelas: sediakan workstation, elak kerja rumah semasa waktu pejabat, fokus pada anak waktu rehat.
  • Amalkan rehat singkat, berjalan atau tarik nafas, nikmati cahaya pagi dan alam untuk tenangkan emosi sebelum kembali bekerja.

Fenomena bekerja dari rumah bukanlah sesuatu yang baharu dalam negara. Kali pertama ia dilaksanakan adalah semasa Perintah Kawalan Pergerakan, PKP pada 18 Mac 2020 susulan dunia diserang pandemik COVID-19.

Kini, fenomena ini kembali dalam hidup rakyat akibat krisis minyak di Asia Barat angkara perbalahan Amerika Syarikat dan Iran.

Walaupun BDR yang dilaksanakan kini adalah solusi kepada penjimatan sumber minyak kenderaan dan bukanlah berbentuk sekatan mandatori.

Namun pelaksanaannya turut membawa kesan-kesan tertentu kepada rakyat. Ada yang memanjatkan kesyukuran namun turut juga ada yang berkeluh kesah.

Sungguh pun rakyat tidak perlu kerap mengisi tangki minyak kenderaan masing-masing dan menikmati pengurangan masa di atas jalan raya serta tidak perlu ‘bersiap’ untuk ke pejabat.

Namun terdapat kesan-kesan sampingan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat termasuklah keletihan mental yang menjadikan seseorang mudah hilang fokus dan daya tumpuan.

Seseorang kadang-kadang tidak sedar jika dia sebenarnya sedang mengalami keletihan mental.

Kita selalu rasa kita mampu buat banyak perkara dalam satu masa kerana kita fikir kita boleh jadi ‘superhero’ tetapi akhirnya terjebak dengan dilema ‘multitasking’ yang memakan diri.

Mana tidaknya, apabila BDR kita perlu menguruskan pelbagai bentuk tugasan yang bukan sahaja terdiri daripada kerja-kerja pejabat, malah turut bergelut untuk menguruskan anak-anak dan juga kerja-kerja rumah.

Sambil menyiapkan laporan pejabat atau slide pembentangan, kita sempat petik suis periuk nasi dan tekan butang mesin basuh.

Kononnya, sambil menyelam minum air. Tetapi malangnya, baju yang dibasuh menjadi kepam dan nasi yang dimasak menjadi terlalu kering semuanya kerana sebelah petang baru kita berpeluang menjenguk kerja-kerja tersebut walaupun sedari pagi telah memulakannya.

Semua ini terjadi kerana fokus kita ‘habis’ digunakan untuk kerja-kerja pejabat sungguh pun kita berada di rumah.

Kita ingat kita produktif, tapi sebenarnya kita cuma membebankan kapasiti mental kita sendiri. Itu belum lagi dengan keadaan hiruk pikuk apabila anak-anak pulang dari sekolah sebelum ke sekolah agama atau kelas petang.

Mana nak dilayan dengan cerita kawan-kawan di sekolah, makan minum yang hendak dihidangkan dan macam-macam urusan lagi. Baju kepam dan nasi yang kering tadi pun belum diuruskan lagi.

Apabila ada masalah kerja pula, kita cuba selesaikan secara online. Tapi jujurlah, bincang kerja melalui skrin tidak sama dengan bersemuka. Kadang-kadang timbul salah faham, maklumat tidak sampai, dan akhirnya kita rasa lebih rimas dan tidak puas hati.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan untuk mengurangkan keletihan mental daripada terus berlaku semasa BDR.

Pertama, ambil sekurang-kurangnya 15 minit setiap hari untuk berjalan pagi atau sekadar duduk di jendela atau di hadapan rumah untuk menikmati cahaya dan suasana pagi.

Hal ini bukan sahaja membantu memulihkan kembali tenaga dan semangat individu malah turut menstabilkan semula emosi yang berkecamuk.

Selain itu, penting untuk kita membuat pengurusan masa dan pembahagian kerja yang jelas supaya tidak berterusan merasa tertekan.

Haruslah diingat, sungguhpun kita di rumah tetapi keutamaan kita adalah pada kerja-kerja pejabat selagi mana waktu bekerja masih belum tamat.

Oleh itu, elakkan daripada melakukan kerja-kerja rumah secara menyambil. Dengan cara ini, anda tidak merasa terbeban untuk menyiapkan pelbagai kerja secara serentak.

Bagi mengatasi cabaran anak-anak pulang dari sekolah, anda digalakkan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada mereka kerana pada waktu itu adalah selari dengan masa rehat di pejabat iaitu di antara jam 1.00 tengah hari sehingga 2.00 petang.

Tinggalkan sebentar pekerjaan anda dan fokus kepada keperluan anak-anak pada masa tersebut.

Makanan tengah hari boleh disediakan dengan lebih awal di waktu pagi, atau sekiranya tidak sempat, tempahlah makanan secara dalam talian. Dengan ini, anda bukan sahaja menjimatkan masa malah turut tenaga walaupun terpaksa mengeluarkan sedikit belanja.

Anggaplah perbelanjaan yang dikeluarkan itu sebagai suatu pelaburan dalam memastikan anda kekal cergas serta stabil mental dan emosi yang mana keduanya jauh lebih berharga.

Selain daripada itu, anda juga boleh menyediakan ruang khas di dalam rumah sebagai workstation anda yang selesa. Susun segala kelengkapan dan keperluan pekerjaan anda di workstation yang baru itu.

Anda juga boleh menghias secara ringkas untuk meningkatkan lagi motivasi anda bekerja.

Apabila merasa rimas dan kusut dengan jurang komunikasi dengan rakan sekerja, cuba beralih daripada workstation anda dan duduk di ruangan yang paling anda gemari di dalam rumah.

Lakukan senaman pernafasan dengan menarik dan menghembus nafas beberapa kali sehingga anda merasa sedikit tenang.

Alihkan perhatian kepada elemen-elemen semulajadi seperti pokok-pokok menghijau yang ada di kawasan perumahan anda ataupun pohon-pohon bunga yang anda sendiri tanam.

Anda akan merasa lebih tenang dan mampu berfikir dengan lebih rasional untuk mengatasi sebarang isu. Setelah reda, segera kembali semula ke workstation dan sambung perkerjaan anda tanpa berlengah sehingga tamat waktu bekerja.

Sesungguhnya, bekerja dari rumah boleh menjadi satu bentuk kelegaan dan juga cabaran pada masa yang sama; bergantung pada bagaimana cara kita semua menanganinya. Bagaimana situasi anda bekerja dari rumah? Tepuk dada tanyalah selera.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Syumi Rafida Abdul Rahman
Pensyarah
Pusat Pengajian Citra Universiti
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: syumi@ukm.edu

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.