Konflik Asia Barat: semua pihak digesa hentikan ketegangan – PBB

Foto fail RTM

NEW YORK, 10 Jun – Semua pihak terlibat digesa menghentikan ketegangan konflik di Asia Barat serta menghormati gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa di Gaza, Iran dan Lubnan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Guterres mendesak Israel buka semula laluan ke Gaza agar bantuan kemanusiaan dihantar segera dan tanpa halangan.
  • Menutup lintasan ke Gaza hanya akan memburukkan lagi keadaan kemanusiaan wilayah yang bergantung kepada bantuan luar.
  • Tiada penyelesaian ketenteraan; beliau menuntut semua pihak kembali kepada rundingan diplomatik bagi penyelesaian aman.

Gesaan dibuat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan semula ketegangan di Asia Barat.

“Semua serangan mesti dihentikan serta-merta. Gencatan senjata di Lubnan, Iran dan Gaza mesti dihormati sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Selasa.

Guterres turut menggesa Israel membuka semula semua laluan masuk ke Gaza yang ditutup, bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan segera, cepat dan tanpa halangan kepada penduduk yang terjejas akibat konflik berpanjangan.

Kenyataan itu dibuat susulan peningkatan ketegangan antara Israel dan Iran selepas kedua-dua pihak saling melancarkan serangan pada Isnin, dalam konfrontasi paling langsung sejak gencatan senjata dicapai pada April lalu.

Walaupun kedua-dua pihak kemudiannya menghentikan serangan, kebimbangan terhadap kemungkinan konflik berulang masih wujud.

Menurut Guterres, penutupan lintasan ke Gaza hanya akan memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di wilayah itu yang bergantung kepada bekalan bantuan luar.

Beliau menegaskan tiada penyelesaian ketenteraan bagi konflik di Asia Barat dan menyeru semua pihak kembali kepada rundingan diplomatik.

Gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat antara Israel dan Hamas sejak Oktober 2025 masih berkuat kuasa, namun kedua-dua pihak berulang kali saling menuduh melanggar perjanjian tersebut.

Pegawai kesihatan Gaza melaporkan lebih 950 orang terbunuh sejak gencatan senjata bermula, manakala Israel memaklumkan empat tenteranya terbunuh dalam tempoh sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.