
KINSHASA, 10 Jun – Sebanyak 550 kes wabak Ebola dengan 101 kematian direkodkan di Republik Demokratik Congo (DRC) setakat 8 Jun.
- WHO laporkan 19 pesakit pulih; pengesanan awal dan rawatan mampu menyelamatkan nyawa.
- 94 peratus kes tertumpu di Ituri; ujian saringan diperluas dan makmal baharu di Mongbwalu beroperasi.
- Pengesanan kontak hanya capai 62 peratus berbanding sasaran 90–95 peratus, melemahkan usaha kawalan.
- Konflik di Ituri, North Kivu dan South Kivu serta akses sukar hingga lapan jam merumitkan kawalan wabak.
Angka terbaharu itu dimaklumkan Pengarah Operasi Amaran dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Abdirahman Mahamud.
Bagaimanapun kata Abdirahman, perkembangan positif mula kelihatan apabila 19 pesakit telah pulih sepenuhnya dari wabak berkenaan.
“Setakat 8 Jun, terdapat 550 kes disahkan dengan 101 kematian. Berita baiknya, kami mempunyai 19 pesakit yang telah pulih.
“Pengesanan awal dan rawatan mampu menyelamatkan nyawa,” katanya dalam sidang media di Geneva pada Selasa.
Tambah beliau, 94 peratus kes wabak tertumpu di wilayah Ituri, selain jumlah kes ebola meningkat susulan perluasan ujian saringan yang giat dilaksanakan ketika ini.
WHO turut membuka makmal baharu di Mongbwalu yang berfungsi sepenuhnya untuk melaksanakan ujian.
Selain itu, WHO turut mempergiat usaha pengesanan kontak, namun setakat ini hanya berjaya mencapai 62 peratus berbanding sasaran sebenar antara 90 hingga 95 peratus.
Cabaran utama adalah faktor geografi dan kesukaran akses ke kawasan pedalaman yang memerlukan perjalanan sehingga lapan jam untuk sampai, selain keperluan membina kepercayaan dalam kalangan komuniti setempat.
“Ituri adalah sebesar Perancis. Ada kawasan yang boleh memperoleh keputusan ujian dalam satu hingga dua jam.
“Manakala lokasi yang jauh mengambil masa dalam tempoh masa 24 jam,” jelas Mahamud.
Wabak Ebola strain Bundibugyo diumumkan pada 15 Mei lalu, namun pihak berkuasa kesihatan mengakui penularannya dipercayai telah berlaku beberapa minggu lebih awal.
Wabak berkenaan kini telah menjejaskan tiga wilayah yang turut berdepan konflik bersenjata berpanjangan iaitu Ituri, North Kivu dan South Kivu, sekali gus merumitkan usaha kawalan dan tindak balas kesihatan awam.