
DHAKA, 19 November – Ratusan anggota keselamatan dikerahkan ke tujuh daerah di Bangladesh susulan peningkatan keganasan dan ketegangan politik menjelang kepulangan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina dari India yang dijadualkan pada Disember.
- Pihak berkuasa memperketat kawalan keselamatan susulan seruan protes di seluruh negara oleh penyokong parti Liga Awami yang kini diharamkan.
- Kejadian khianat menggunakan api dan kekacauan dilaporkan di Gopalganj, kampung halaman Hasina.
- Polis menahan 107 individu yang disyaki berkaitan Liga Awami, termasuk bekas Menteri Pendidikan Nurul Islam Nahid.
- Sheikh Hasina melarikan diri ke India selepas kebangkitan rakyat 2024; dijatuhi hukuman mati tanpa kehadiran namun tetap berikrar kembali.
Pengerahan itu turut melibatkan daerah Gopalganj, kampung halaman Hasina, selepas beberapa kejadian khianat menggunakan api dan kekacauan dilaporkan sejak beberapa hari lalu.
Menurut Pasukan Pengawal Sempadan Bangladesh, langkah berkenaan diambil ketika pihak berkuasa memperketat kawalan keselamatan susulan seruan protes di seluruh negara oleh penyokong parti Liga Awami pimpinan Hasina yang kini diharamkan.
Saksi memaklumkan, sekumpulan penyokong parti itu yang membawa kayu mengadakan perhimpunan dan menyekat lalu lintas di beberapa bahagian lebuh raya utama yang menghubungkan Dhaka dengan Gopalganj.
Dalam perkembangan berkaitan, polis menahan 107 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan Liga Awami, termasuk bekas Menteri Pendidikan, Nurul Islam Nahid.
Sementara itu, Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman menggesa parti politik yang mendukung demokrasi supaya bersatu bagi mempertahankan kestabilan negara daripada sebarang usaha menggugat pentadbiran.
Gesaan itu disuarakan ketika berucap di Parlimen semalam dengan beliau menyeru perpaduan politik seperti yang ditunjukkan semasa kebangkitan rakyat pada 2024.
Hasina, 79 tahun, melarikan diri ke India pada Ogos 2024 selepas kebangkitan rakyat diterajui pelajar menamatkan pemerintahannya selama 15 tahun.
Beliau dijatuhi hukuman mati tanpa kehadirannya tahun lalu selepas disabitkan kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan berhubung tindakan keras terhadap penunjuk perasaan pada 2024.
Bagaimanapun, Hasina tetap berikrar untuk kembali ke Bangladesh bulan depan, meskipun berdepan hukuman berkenaan. – AFP