Tentera Myanmar bunuh kira-kira 10,000 etnik Rohingya – ICJ

Foto AFP

THE HAGUE, 19 November – Kira-kira 10,000 etnik Rohingya dibunuh oleh pasukan keselamatan Myanmar dalam operasi ketenteraan pada 2017, menurut dapatan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah mendapati keganasan seksual meluas, kekejaman terhadap kanak-kanak dan serangan terhadap penduduk Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh.
  • ICJ menyimpulkan wujud niat untuk memusnahkan sebahagian besar populasi Rohingya, elemen penting dalam menentukan jenayah genosid.
  • Kes difailkan Gambia mengikut Konvensyen Genosid 1948; keputusan ICJ mengikat tetapi tiada mekanisme penguatkuasaan langsung.

Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut mendapati berlakunya keganasan seksual secara meluas, kekejaman terhadap kanak-kanak serta serangan terhadap penduduk Rohingya yang cuba melarikan diri ke Bangladesh.

Presiden ICJ, Yuji Iwasawa berkata, bukti yang dikemukakan menyokong anggaran jumlah korban berkenaan, selain menunjukkan tindakan keganasan dilakukan secara sistematik terhadap komuniti minoriti Islam itu.

Malah, menurutnya, satu-satunya kesimpulan munasabah berdasarkan bukti ialah wujud niat untuk memusnahkan sebahagian besar populasi Rohingya, yang menjadi elemen penting dalam menentukan jenayah genosid.

Dapatan itu diumumkan ketika ICJ membacakan keputusan berhubung kes yang difailkan Gambia terhadap Myanmar pada 2019, mengikut Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948.

Gambia yang mendapat sokongan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membawa kes berkenaan bagi mendapatkan pengadilan terhadap kekejaman yang dilakukan ketika operasi ketenteraan di wilayah Rakhine.

Myanmar bagaimanapun menafikan dakwaan genosid dengan mempertahankan operasi itu sebagai tindakan keselamatan bagi menangani serangan kumpulan pemberontak bersenjata.

Perkembangan di mahkamah itu turut menjadi perhatian lebih sejuta pelarian Myanmar yang kini berlindung di Bangladesh selepas melarikan diri daripada keganasan di negara asal mereka.

Sebahagian mangsa yang terselamat berharap proses perundangan berkenaan dapat membuka jalan kepada keadilan, selain membolehkan mereka kembali ke tanah air.

Keputusan ICJ mempunyai kuasa mengikat di sisi undang-undang antarabangsa, namun mahkamah itu tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan secara langsung terhadap negara yang gagal mematuhinya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.