
KUALA LUMPUR, 6 Oktober — Media massa perlu terus memperluas pelaporan mengenai isu teras rakyat termasuk perumahan, ekonomi, pembangunan, kesejahteraan bandar dan isu sosial bagi menyokong usaha pembangunan negara.
- Laporan berita tepat dan memberi impak penting membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.
- Pengamal media bertanggungjawab memastikan maklumat disampaikan tepat, jelas dan bebas daripada manipulasi.
- Kerjasama erat antara media dan kerajaan membina ekosistem komunikasi matang dan bertanggungjawab; KPKT menghargai sokongan media.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, pelaporan berita yang tepat dan memberi impak kepada kehidupan rakyat penting dalam membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, pengamal media juga bertanggungjawab memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat, jelas dan bebas daripada manipulasi.
“Kita kena bina persepsi, perspektif positif dalam usaha kita membina semula tanah air kita yang tercinta. Jangan bagi prestasi kalah kepada persepsi.
“Prestasi kerja yang sebenarnya membawa manfaat kepada rakyat wajar ditonjolkan dan bukannya persepsi negatif yang selalu merugikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (AkeMEDIA) 2026 di ibu negara malam Isnin.
Nga berkata, kerjasama erat antara media dan kerajaan semakin penting bagi membina ekosistem komunikasi yang matang dan bertanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada pengamal media atas kerjasama kepada KPKT khususnya dalam memastikan maklumat mengenai inisiatif dan pencapaian kementerian disampaikan dengan tepat kepada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan KPKT kini diiktiraf sebagai antara tiga kementerian terbaik bertaraf status platinum.
Katanya, dalam tempoh kurang dua tahun, KPKT turut mencatat tujuh Rekod Malaysia (Malaysia Book of Records) selain menerima pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Pembangunan Negara dan Anugerah Inovasi Perdana Menteri.