RTM rangkul empat anugerah media KPKT

Noor Sharidah Shaffie (kiri), Muhammad Syazwan Hakimi Lee Muhammad Fuad Lee (dua dari kiri), Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa Md Shahri Saripan (tengah), Mohd Faizal Nazreen Abdullah (dua dari kanan) dan Noor Ain Abu Bakar (kanan) memenangi Anugerah Kecemerlangan Media KPKT (AkeMEDIA) 2026

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya merangkul empat anugerah menerusi Anugerah Kecemerlangan Media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (AkeMEDIA) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohd Faizal Nazreen Abdullah menang tempat pertama Kategori Penyiaran Televisyen menerusi 'Bicara Naratif: Sisa Pepejal'.
  • Noor Ain Abu Bakar raih tempat kedua Kategori Penyiaran Televisyen menerusi 'Laporan Khas: Di Sebalik Operasi SAR'.
  • Muhammad Syazwan Hakimi Lee Muhammad Fuad Lee raih tempat kedua Anugerah Kandungan Media Sosial menerusi 'BES+ kini - Ujian Kemahiran Teknikal Kebombaan'.
  • Noor Sharidah Shaffie raih tempat kedua Kategori Penyiaran Radio menerusi 'Dokumentari: Kredit Komuniti Pilihan Kewangan atau Jalan Terakhir'.

Pencapaian itu membuktikan komitmen RTM sebagai organisasi penyiaran yang terus relevan dalam menghasilkan kandungan berkualiti khususnya dalam menyampaikan maklumat berkaitan sektor perumahan dan kerajaan tempatan kepada masyarakat.

Kategori Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik, Mohd Faizal Nazreen Abdullah berjaya merangkul tempat pertama menerusi program ‘Bicara Naratif : Sisa Pepejal.’

Bagi Mohd Faizal, kemenangan itu sekali gus membuktikan kecemerlangan program Bicara Naratif, yang berjaya meraih tempat pertama dalam anugerah media sebanyak tiga kali tahun ini.

“Bicara Naratif ini lebih kepada program bual bicara harian yang menampilkan pelbagai tetamu, dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

“Sekiranya berpeluang, selepas ini saya akan hasilkan lebih banyak pengisian yang menarik supaya lebih ramai menonton program Bicara Naratif,” katanya ketika ditemui RTM.

Bagi kategori sama, Noor Ain Abu Bakar dari RTM Perak turut meraih tempat kedua menerusi ‘Laporan Khas: Di Sebalik Operasi SAR: Cuaca, Laluan Berbahaya Jadi Cabaran Anggota Penyelamat.’

Noor Ain menyifatkan kemenangan itu sekali gus sebagai penghargaan terhadap usaha pasukan yang menghasilkan karya berkenaan.

“Syukur alhamdulillah, bertambah lagi koleksi dan sebenarnya hilang penat. Untuk karya kali ini, kami terpaksa berkampung hampir seminggu di Tapah untuk penggambaran.

“Selepas menerima kemenangan ini, segalanya terasa berbaloi dan saya sangat bersyukur kerana karya yang dihasilkan ini dihargai,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Syazwan Hakimi Lee Muhammad Fuad Lee meraih tempat kedua bagi kategori Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik menerusi konten ‘BES+ kini – Ujian Kemahiran Teknikal Kebombaan.’

Kemenangan itu disifatkan sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan lebih banyak kandungan kreatif dan berkualiti, khususnya yang dekat dengan golongan muda.

“Saya sebagai Generasi Z dan orang muda, saya nak hasilkan lebih banyak video yang menarik supaya lebih ramai boleh tengok. Saya juga nak tingkatkan lagi kualiti kandungan.

“Terima kasih khas kepada RTM, terutama kru saya, BES+ dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong saya. Terima kasih banyak,” katanya.

Kategori Anugerah Penyiaran Radio Terbaik pula, menjadi milik Noor Sharidah Shaffie dari RTM Perak menerusi ‘Dokumentari: Kredit Komuniti Pilihan Kewangan atau Jalan Terakhir’ berjaya meraih tempat kedua.

Noor Sharidah menucapkan penghargaan kepada pihak pengurusan serta pasukan RTM Perak yang membantu dalam menghasilkan dokumentari berkenaan.

“Dokumentari ini dihasilkan untuk menyedarkan masyarakat mengenai pentingnya pengetahuan tentang Kredit Komuniti supaya kita tidak terjerat dengan pinjaman wang haram.

“Kita nak memberi kesedaran kepada semua pendengar, khususnya pendengar Radio Perak FM,” katanya.

Keempat-empat pemenang masing-masing menerima plak penghargaan, trofi serta wang tunai bernilai RM3,000 bagi tempat pertama dan RM2,000 bagi tempat kedua.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di ibu negara hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.