
PETALING JAYA, 9 Jun – Pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching, menyasarkan untuk memecahkan rekod perlumbaan pada edisi ke-20 Tokyo Tower Stair Race di Jepun yang akan berlangsung pada 14 Jun ini.
- Cabaran 590 anak tangga; rekod kejohanan 2 minit 29 saat dipegang Ryoji Watanabe.
- Wai Ching yakin mampu catat 2 minit 25 saat berdasarkan kiraan dan persiapan.
- Menang lima daripada tujuh perlumbaan pada Mei termasuk di Malaysia, China, Singapura dan Switzerland.
- MBPJ perbaharui tajaan RM75,000; beliau terus duta MBPJ hingga penghujung 2026.
Atlet berusia 31 tahun itu akan mengharungi cabaran 590 anak tangga dengan misi memperbaharui rekod kejohanan iaitu 2 minit 29 saat yang kini dipegang pelari nombor dua dunia dari Jepun, Ryoji Watanabe.
Beliau optimis mampu mencatat masa lebih pantas berdasarkan persiapan dan prestasi semasanya menjelang perlumbaan berprestij itu.
“Sasaran saya adalah untuk memecahkan rekod perlumbaan. Berdasarkan kiraan dan persiapan yang dilakukan, saya percaya catatan 2 minit 25 saat mampu dicapai. Saya juga sangat teruja untuk menyertai perlumbaan ini dan akan membawa isteri serta anak bersama ke Tokyo,” katanya.
Wai Ching terus mempamerkan prestasi cemerlang musim ini apabila memenangi lima daripada tujuh perlumbaan yang disertainya sepanjang Mei lalu, termasuk di Malaysia, China, Singapura dan Switzerland.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperbaharui tajaan kepada Wai Ching untuk tahun keempat berturut-turut menerusi perjanjian bernilai RM75,000.
Perjanjian itu menyaksikan beliau terus berperanan sebagai duta MBPJ sehingga penghujung tahun 2026.