
GEORGE TOWN, 9 Jun – Senarai pendek atlet yang bakal mewakili Kontinjen Pulau Pinang ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dijangka dimuktamadkan menjelang penghujung Jun.
- Pulau Pinang sah bertanding dalam 37 acara dengan sasaran 60 pingat emas.
- Kontinjen kini berada pada fasa akhir persiapan dengan peningkatan intensiti latihan.
- Penekanan terhadap pemulihan fizikal untuk memastikan prestasi optimum dan mengurangkan kecederaan.
- Kerajaan negeri menandatangani MoU dengan VitaHealth Malaysia untuk sokongan kesihatan dan pemulihan atlet.
Pulau Pinang mengesahkan penyertaan dalam 37 acara dengan sasaran membawa pulang 60 pingat emas pada temasya berkenaan.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata, kontinjen negeri itu kini berada pada fasa akhir persiapan menjelang temasya dwitahunan tersebut.
Menurut beliau, selain meningkatkan intensiti latihan, aspek pemulihan fizikal atlet turut diberi perhatian bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik ketika pertandingan berlangsung.
“Memang kita kini berada dalam gear 4 atau gear 5 dari segi persediaan. Namun pada masa yang sama, saya ingin menyeru atlet, jurulatih dan persatuan sukan negeri supaya turut memberi perhatian kepada aspek persediaan secara menyeluruh.
“Walaupun intensiti latihan kini dipertingkatkan, kita juga perlu memberikan masa dan ruang kepada atlet untuk menjalani proses pemulihan supaya mereka dapat beraksi pada tahap prestasi optimum,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan VitaHealth Malaysia di Komtar, di sini, hari ini.
Keseimbangan antara latihan dan pemulihan amat penting bagi mengelakkan kecederaan serta memastikan atlet berada dalam keadaan terbaik menjelang temasya yang dijadual berlangsung di Selangor pada tahun ini.