73 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu di Johor Bahru

Foto Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 16 Oktober – Seramai 73 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di sekitar Johor Bahru, 14 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Warga asing ditahan terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan termasuk Myanmar, Indonesia, Thailand, Sudan, Filipina, Pakistan, Bangladesh, China, Vietnam.
  • Operasi menyasarkan premis perniagaan dikendalikan warga asing seperti kedai telefon bimbit, pusat urut dan restoran tomyam.
  • Dua warga tempatan ditahan dipercayai bertindak sebagai pengurus premis, semua tahanan disiasat di Depot Imigresen Setia Tropika.
  • JIM Johor akan perkuat penguatkuasaan, lapan borang saman dikeluarkan dan orang ramai diminta melaporkan aktiviti warga asing mencurigakan.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, warga asing yang ditahan terdiri daripada melibatkan 20 warga Myanmar, 34 warga Indonesia, 11 warga Thailand serta dua warga Sudan.

Selain seorang warga Filipina, seorang warga Pakistan, seorang warga Bangladesh, seorang warga China dan dua warga Vietnam, berusia antara 20 hingga 45 tahun.

Operasi itu menyasarkan beberapa premis perniagaan yang dipercayai dikendalikan warga asing, termasuk kedai telefon bimbit yang disyaki menawarkan perjudian dalam talian dan aktiviti menulis nombor ramalan, pusat urut serta restoran masakan tomyam.

Turut ditahan ialah dua warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pengurus premis berkenaan.

Kesemua tahanan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sebanyak lapan borang saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.

JIM Johor menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus diperkukuh bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen, termasuk penyalahgunaan pas lawatan sosial, pas kerja dan kemudahan imigresen yang diberikan.

Orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti warga asing yang disyaki melanggar undang-undang bagi membantu memelihara keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.