
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Sebanyak 199 kes jenayah indeks melibatkan pelarian Myanmar direkodkan di seluruh negara dari 2022 hingga Ogos lalu, dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 58 kes.
- Pengurusan pelarian dan pemohon suaka dilaksanakan melalui Arahan MKN No. 23 bagi menjaga keselamatan negara.
- Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bermula 1 Jan 2026 untuk pengurusan data pelarian secara berpusat dan mengurangkan kebergantungan kepada UNHCR.
- Jabatan Imigresen menahan 159,232 pendatang tanpa izin melalui 53,318 operasi dan mengambil tindakan terhadap 6,099 majikan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 52 kes direkodkan pada 2022, diikuti 43 kes pada 2023, 37 kes pada 2024, 29 kes pada 2025 dan 38 kes setakat Ogos 2026.
Selepas Selangor, Kedah merekodkan 26 kes, diikuti Johor (24), Kuala Lumpur (22), Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan masing-masing 13 kes, Perak dan Terengganu masing-masing 12 kes, Melaka (empat) serta Negeri Sembilan (dua).
Dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, KDN menjelaskan bahawa pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dilaksanakan secara menyeluruh menerusi Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23, yang menetapkan garis panduan serta peranan kementerian dan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan negara terpelihara.
“Kerajaan turut memperkukuh kawalan dan pemantauan terhadap komuniti pelarian, termasuk etnik Rohingya, melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang bermula pada 1 Jan 2026.
“Program itu bertujuan memperkukuh pengurusan data pelarian secara berpusat dan mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” menurut kementerian itu.
Bagi Fasa 1 program berkenaan, sebanyak 4,010 tahanan di depot tahanan imigresen di seluruh Semenanjung Malaysia telah didaftarkan, terdiri daripada 4,008 warga Myanmar serta masing-masing seorang warga Sudan dan Syria.
“Individu dewasa akan dipindahkan secara berperingkat ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka di Bidor, Perak, yang mempunyai kapasiti operasi 400,” menurut KDN.
Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 159,232 pendatang tanpa izin menerusi 53,318 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dari 2025 hingga Ogos lalu.
Operasi itu turut menyaksikan seramai 659,191 individu diperiksa, manakala 6,099 majikan diambil tindakan kerana didapati menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin tanpa kebenaran sah.
Berhubung pemalsuan kad UNHCR, KDN memaklumkan hanya satu kes direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM setakat ini.
“Kes yang berlaku di Kuala Lumpur itu melibatkan enam warga Myanmar dan kesemua mereka telah dituduh di mahkamah,” menurut kementerian itu.