Belanjawan 2027: Mengapa pesakit masih perlu mengulang cerita?

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesalingoperasian sistem kesihatan mesti diperkukuh supaya maklumat pesakit bergerak antara fasiliti tanpa pesakit menjadi penghubung tunggal.
  • Prinsip satu individu satu rekod bermaksud akses maklumat berkaitan diberikan secara selamat berdasarkan keperluan tugas, bukan satu pangkalan data tunggal.
  • Rekod elektronik mesti direka untuk mengurangkan beban petugas kesihatan, menyokong aliran kerja klinikal, dan disertai latihan serta sokongan teknikal.
  • Keselamatan dan kawalan akses adalah teras, tadbir urus serta keselamatan siber perlu diperkukuh untuk mempertahankan kepercayaan pesakit.

“Ubat apa yang puan ambil sekarang?” “Yang darah tinggi ada dua, doktor. Satu warna putih. Satu lagi saya tak ingat namanya.”

Bagi seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di beberapa fasiliti kesihatan, situasi seperti ini mungkin sudah biasa.

Setiap kali bertemu petugas kesihatan yang baharu, sejarah penyakit, senarai ubat, alahan dan rawatan terdahulu mungkin perlu diceritakan semula.

Ada maklumat yang tersimpan dalam rekod klinik, ada yang berada di hospital, manakala sebahagian lagi bergantung kepada ingatan pesakit atau ahli keluarga yang menemaninya.

Dalam keadaan biasa, mengulang cerita mungkin sekadar melelahkan. Namun, apabila seseorang pesakit datang dalam keadaan kecemasan, tidak sedarkan diri atau mengambil pelbagai jenis ubat, kemampuan mendapatkan maklumat kesihatan yang tepat pada waktunya boleh menjadi jauh lebih penting.

Persoalannya bukan lagi sekadar tentang kemudahan teknologi, tetapi tentang kesinambungan dan keselamatan rawatan.

Belanjawan 2027 memberikan perhatian kepada cabaran ini apabila kerajaan mengumumkan pelaburan RM1 bilion melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk terus mempergiat pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik di fasiliti kesihatan seluruh negara.

Hala tuju yang digariskan turut membawa prinsip yang mudah tetapi besar implikasinya, iaitu satu individu, satu rekod.

Namun, hospital dan klinik di Malaysia bukanlah baru mengenali rekod perubatan elektronik. Pelbagai sistem digital telah digunakan di fasiliti kesihatan sejak sekian lama.

Oleh itu, persoalan yang lebih relevan bukan mengapa kita baru mahu mendigitalkan rekod pesakit, tetapi bagaimana pelaburan baharu ini boleh membantu sistem yang sudah wujud menjadi lebih meluas, saling berhubung dan benar-benar memudahkan perjalanan rawatan seseorang pesakit.

Apabila Pesakit Bergerak, Maklumat Juga Perlu Bergerak

Perjalanan seorang pesakit dalam sistem kesihatan jarang berlaku di satu tempat sahaja.

Seorang pesakit diabetes mungkin menjalani rawatan berkala di klinik kesihatan, dirujuk ke hospital untuk berjumpa pakar, dimasukkan ke wad apabila mengalami komplikasi dan kemudian kembali ke klinik untuk rawatan susulan.

Pada setiap peringkat tersebut, keputusan rawatan bergantung kepada maklumat. Apakah ubat yang sedang diambil? Adakah dosnya pernah diubah? Apakah keputusan ujian darah terdahulu?

Pernahkah pesakit mengalami alahan terhadap ubat tertentu? Apakah rawatan yang telah diberikan semasa kemasukan ke hospital?

Jika maklumat penting berada dalam sistem yang berbeza dan tidak mudah dicapai oleh petugas kesihatan yang sedang merawat pesakit, sebahagian sejarah tersebut mungkin perlu diperoleh semula daripada pesakit.

Dalam keadaan tertentu, ujian mungkin perlu dilakukan semula atau petugas kesihatan perlu mengambil masa mendapatkan rekod daripada fasiliti lain.

Di sinilah konsep interoperability atau kesalingoperasian menjadi penting. Secara mudah, ia bermaksud sistem yang berbeza mempunyai keupayaan untuk bertukar dan menggunakan maklumat antara satu sama lain.

Bayangkan aplikasi perbankan yang membolehkan kita memindahkan wang antara bank yang berbeza. Pengguna tidak perlu memahami teknologi di belakangnya; yang penting, maklumat yang diperlukan dapat bergerak dengan selamat daripada satu sistem kepada sistem yang lain.

Dalam penjagaan kesihatan, konsepnya jauh lebih kompleks kerana maklumat perubatan bersifat sensitif dan keputusan yang dibuat boleh memberikan kesan kepada kesihatan seseorang.

Namun, prinsip asasnya hampir sama. Pesakit sepatutnya tidak perlu menjadi satu- satunya penghubung yang membawa keseluruhan sejarah rawatannya dari satu fasiliti ke fasiliti yang lain.

Satu Individu, Satu Rekod

Prinsip satu individu, satu rekod tidak semestinya bermaksud semua maklumat kesihatan seseorang disimpan dalam satu komputer atau satu pangkalan data yang sama.

Apa yang lebih penting ialah maklumat yang relevan dapat dikenal pasti dan diakses secara selamat oleh petugas kesihatan yang mempunyai keperluan serta kebenaran untuk menggunakannya.

Bayangkan seorang pesakit warga emas yang tidak sedarkan diri dibawa ke jabatan kecemasan ketika berada jauh dari tempat tinggalnya. Beliau tidak membawa senarai ubat dan ahli keluarganya pula belum dapat dihubungi.

Jika maklumat penting seperti penyakit kronik, alahan ubat dan ubat semasa boleh diperoleh melalui sistem yang bersepadu, petugas kesihatan mempunyai maklumat tambahan untuk membantu membuat keputusan rawatan.

Begitu juga apabila seseorang pesakit keluar dari hospital. Maklumat mengenai perubahan ubat, keputusan pemeriksaan dan rancangan rawatan susulan penting kepada pasukan kesihatan yang akan meneruskan penjagaannya.

Apabila maklumat ini bergerak bersama pesakit, kesinambungan rawatan berpotensi menjadi lebih baik.

Namun, sistem digital tidak menggantikan komunikasi dengan pesakit. Doktor masih perlu mendapatkan sejarah penyakit, memahami pengalaman pesakit dan mengesahkan maklumat yang relevan.

Rekod elektronik sepatutnya membantu proses tersebut, bukannya mengubah rawatan menjadi sekadar membaca apa yang tertera pada skrin.

Digital Bukan Semestinya Bersepadu

Kita juga perlu membezakan antara pendigitalan dengan integrasi. Sebuah hospital mungkin sudah tidak menggunakan fail kertas untuk sebahagian besar prosesnya, tetapi itu tidak semestinya bermaksud sistemnya boleh berkomunikasi dengan sistem di fasiliti lain.

Jika setiap fasiliti mempunyai sistem elektronik tetapi maklumat masih terasing dalam sistem masing-masing, kita hanya menggantikan kabinet fail fizikal dengan apa yang boleh dianggap sebagai “kabinet fail digital”.

Rekod memang sudah berada dalam komputer, tetapi perjalanan maklumat masih boleh terhenti apabila pesakit bergerak ke tempat lain.

Justeru, nilai sebenar pelaburan digital bukan sekadar pada jumlah komputer, perisian atau fasiliti yang menggunakan rekod elektronik.

Ukuran yang lebih bermakna ialah sama ada teknologi tersebut membantu petugas kesihatan mendapatkan maklumat yang tepat dengan lebih mudah, mengurangkan pengulangan proses yang tidak diperlukan dan menyokong kesinambungan rawatan.

Malaysia sebenarnya telah bergerak ke arah ini melalui pelbagai inisiatif digital kesihatan. Kementerian Kesihatan juga meletakkan pembangunan platform kesalingoperasian kesihatan sebagai sebahagian daripada perancangan strategiknya.

Pelaburan yang diumumkan melalui Belanjawan 2027 boleh dilihat dalam konteks perjalanan yang lebih panjang ini, iaitu memperluas dan memperkukuh ekosistem kesihatan digital negara.

Teknologi yang Baik Sepatutnya Mengurangkan Beban, Bukan Menambahnya

Satu lagi aspek yang perlu diberikan perhatian ialah pengalaman petugas kesihatan sendiri. Sistem rekod elektronik yang baik sepatutnya membantu doktor, jururawat dan profesional kesihatan menjalankan tugas dengan lebih cekap.

Namun, jika sesuatu sistem memerlukan terlalu banyak langkah, pengisian data berulang atau masa yang panjang untuk mencari maklumat, teknologi boleh menjadi beban tambahan.

Ini penting kerana masa yang digunakan untuk berinteraksi dengan sistem merupakan masa yang turut mempengaruhi pengalaman pesakit.

Kita tentunya tidak mahu sebuah konsultasi yang sepatutnya berpusatkan manusia akhirnya menyebabkan doktor lebih banyak memandang skrin berbanding pesakit di hadapannya.

Oleh itu, kejayaan digitalisasi kesihatan tidak boleh dinilai daripada aspek teknologi semata-mata.

Reka bentuk sistem perlu mengambil kira aliran kerja sebenar petugas kesihatan, manakala latihan dan sokongan teknikal perlu disediakan apabila sistem diperkenalkan atau ditambah baik.

Maklum balas pengguna di lapangan juga penting kerana merekalah yang menggunakan sistem tersebut dalam situasi klinikal setiap hari.

Dalam erti kata lain, transformasi digital yang berjaya bukan apabila teknologi memaksa manusia menyesuaikan seluruh cara mereka bekerja dengannya, tetapi apabila teknologi direka untuk membantu manusia memberikan rawatan yang lebih baik.

Satu Rekod Tidak Bermaksud Semua Orang Boleh Melihatnya

Apabila rekod kesihatan semakin saling berhubung, satu persoalan yang wajar timbul ialah keselamatan dan kerahsiaan maklumat pesakit.

Rekod kesihatan mengandungi antara maklumat paling peribadi tentang seseorang, daripada sejarah penyakit dan ubat sehinggalah keputusan pemeriksaan serta rawatan yang pernah diterima.

Oleh itu, prinsip satu individu, satu rekod perlu berjalan seiring dengan prinsip akses yang terkawal. Tidak semua petugas memerlukan akses kepada semua maklumat pada setiap masa.

Sistem perlu mempunyai mekanisme yang memastikan akses diberikan berdasarkan keperluan tugas, selain merekodkan siapa yang melihat atau mengubah sesuatu maklumat.

Keselamatan siber juga tidak boleh dianggap sebagai isu sampingan. Semakin banyak maklumat kesihatan disimpan dan dipertukarkan secara digital, semakin penting perlindungan terhadap kehilangan data, akses tanpa kebenaran dan serangan siber.

Kepercayaan masyarakat terhadap sistem kesihatan digital bergantung bukan sahaja kepada kemudahannya, tetapi juga kepada keyakinan bahawa maklumat peribadi mereka dilindungi.

Dalam hal ini, kemajuan teknologi perlu bergerak bersama tadbir urus yang kukuh. Sistem yang paling canggih sekalipun akan kehilangan nilainya sekiranya masyarakat tidak yakin bahawa maklumat kesihatan mereka dikendalikan secara bertanggungjawab.

Daripada RM1 Bilion Kepada Pengalaman Seorang Pesakit

Pelaburan RM1 bilion untuk mempergiat pelaksanaan rekod perubatan elektronik merupakan satu komitmen besar terhadap transformasi digital kesihatan.

Namun, bagi kebanyakan rakyat, kejayaan pelaburan tersebut akhirnya akan dirasai melalui perkara yang sangat sederhana: perjalanan rawatan yang lebih lancar, maklumat yang tidak terputus dan keputusan klinikal yang dapat dibuat dengan maklumat yang mencukupi.

Kita kembali kepada pesakit di awal cerita tadi. “Ubat apa yang puan ambil sekarang?”

Mungkin suatu hari nanti, sebelum pesakit itu terpaksa mengingat sama ada pilnya berwarna putih, bulat atau kecil, doktor sudah mempunyai maklumat yang diperlukan di hadapannya.

Pesakit masih perlu bercerita kerana setiap cerita mempunyai konteks yang tidak dapat digantikan oleh teknologi. Bezanya, dia tidak lagi perlu menjadi satu-satunya orang yang menghubungkan keseluruhan sejarah rawatannya.

Jika pelaburan Belanjawan 2027 mampu membawa sistem kesihatan kita lebih hampir kepada pengalaman itu, maka RM1 bilion tersebut bukan sekadar pelaburan untuk mendigitalkan rekod.

Ia adalah pelaburan supaya pengalaman mendapatkan rawatan menjadi lebih mudah, lebih bersambung dan lebih selamat untuk pesakit.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
E-mel: azrilshahreez@iium.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.