
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – MBSB Bhd (MBSB) serta Halal Development Corporation Bhd (HDC) bekerjasama menerusi inisiatif ‘Global Markets Unlocked Workshop’ bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) halal tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
- GLOMAX disokong dana RM100 juta oleh MIDF, hubungkan PMKS dengan pembeli global, rakan strategik dan peluang pasaran baru.
- Inisiatif tingkatkan kesiapsiagaan pembiayaan syarikat bagi menyokong pengembangan perniagaan ke peringkat antarabangsa.
- Kerjasama bantu syarikat halal beralih daripada tahap kesediaan eksport kepada penyertaan aktif di pasaran antarabangsa.
- HDC perkenal Halal Integrated Platform yang sambungkan perniagaan kepada sumber industri, program, perkhidmatan dan peluang komersial.
Inisiatif bertujuan membantu perniagaan tempatan mengenal pasti peluang pasaran, membina rangkaian perniagaan antarabangsa dan mendapatkan akses kepada pembeli global.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, peningkatan permintaan global kepada produk serta perkhidmatan halal membuka peluang kepada perniagaan Malaysia untuk mengembangkan operasi ke luar negara.
“Menerusi Global Market Access Accelerator (GLOMAX) yang disokong dana RM100 juta oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), PMKS dan syarikat bersaiz sederhana dapat menghubungkan perniagaan masing-masing dengan pembeli global, rakan strategik serta peluang pasaran baharu,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, inisiatif berkenaan turut membantu meningkatkan kesiapsiagaan pembiayaan syarikat bagi menyokong pengembangan perniagaan ke peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hanisofian Alias berkata kerjasama bertujuan membantu syarikat halal tempatan beralih daripada tahap kesediaan eksport kepada penyertaan aktif dalam pasaran antarabangsa.
“Kerjasama dengan MBSB dan pengenalan GLOMAX, syarikat halal tempatan berpeluang membina hubungan dengan pembeli, menjalin kerjasama strategik dan bersaing dengan lebih yakin di peringkat global,” katanya dalam kenyataan sama.
Bengkel berkenaan turut menampilkan perkongsian daripada Bank Negara Malaysia (BNM), EXIM Bank dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), merangkumi aspek keselamatan kewangan, kesedaran penipuan serta skim jaminan pembiayaan yang disokong kerajaan.
Selain itu, HDC turut memperkenalkan peranan Halal Integrated Platform (HIP) yang menghubungkan perniagaan dengan sumber industri, program, perkhidmatan dan peluang komersial bagi menyokong pertumbuhan PMKS halal tempatan serta memperluas pasaran eksport.