IMF unjur KDNK Malaysia 5.2 peratus

Penggunaan per kapita Malaysia berkembang lebih pantas berbanding pendapatan

KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini diunjur sebanyak 5.2 peratus sebelum dijangka menyederhana kepada 4.7 peratus pada 2027, di sebalik ketidaktentuan ekonomi serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Eksport berkaitan teknologi dan pelaburan pusat data jadi penyumbang utama pertumbuhan rantau.
  • Pelaburan pusat data tingkat permintaan kepada barangan perantaraan, manfaatkan pembekal serantau termasuk Thailand dan Vietnam.
  • Inflasi teras dan keseluruhan masih terkawal, sebahagiannya kerana inventori dan langkah penstabilan harga termasuk subsidi di Malaysia.
  • Penggunaan per kapita berkembang lebih pantas daripada pendapatan, dasar perlu tumpu pengukuhan daya tahan isi rumah berisiko dan berhutang tinggi.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi Serantau bagi Asia dan Pasifik edisi Oktober 2026 memberitahu, eksport berkaitan teknologi dan pelaburan kukuh dalam pusat data antara penyumbang utama pertumbuhan di rantau ini.

“Eksport Malaysia dan Singapura meningkat susulan peranan kedua-dua negara sebagai pusat pemasangan dan pembungkusan produk teknologi.

”Pada masa sama, pelaburan kukuh dalam pusat data di China, India, Jepun, Indonesia dan Malaysia turut menyumbang kepada pertumbuhan,”menurut laporan berkenaan.

Pelaburan dalam pusat data turut menjana permintaan lebih luas kepada barangan perantaraan daripada pembekal serantau, termasuk Thailand dan Vietnam.

Dari segi komposisi eksport perkhidmatan, perkhidmatan moden di Malaysia menyumbang kira-kira 30 peratus daripada jumlah eksport perkhidmatan pada 2023, manakala selebihnya terdiri daripada perkhidmatan tradisional.

Mengenai inflasi, IMF menyatakan kesan kenaikan harga tenaga terhadap inflasi keseluruhan dan teras masih terkawal secara relatif di kebanyakan ekonomi maju serta pasaran sedang pesat membangun.

”Keadaan itu sebahagiannya disebabkan kebergantungan pada inventori serta penggunaan meluas langkah penstabilan harga, termasuk di Malaysia, Korea dan Thailand,”katanya.

Mengehadkan kesan kenaikan harga tenaga terhadap harga domestik menjadi matlamat utama dasar, dengan lebih 80 peratus ekonomi melaksanakan langkah untuk membendung impak tersebut, menggunakan purata dua hingga empat instrumen.

Langkah berkenaan termasuk mengekalkan harga bahan api atau utiliti pada paras tertentu serta subsidi di Malaysia, selain pengurangan cukai dan duti bahan api di Kemboja dan Laos, serta penetapan had harga bahan api yang disokong subsidi di Jepun dan Thailand.

Mengenai permintaan domestik pula, IMF menjelaskan penggunaan per kapita Malaysia berkembang lebih pantas berbanding pendapatan, dengan jurang pertumbuhan lebih besar daripada purata ekonomi sedang pesat membangun dan ekonomi membangun.

Keadaan itu turut didorong peningkatan ketara pinjaman isi rumah daripada bank.

”Bagi ekonomi yang mencatat pertumbuhan penggunaan yang agak kukuh, termasuk Malaysia dan Thailand, dasar perlulah memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan penggunaan, khususnya dalam kalangan isi rumah yang terdedah kepada risiko dan mempunyai tahap keberhutangan tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.