
KOTA SAMARAHAN, 10 Jun – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu pengiktirafan kelayakan Program Doktor Farmasi (PharmD) Universiti Alexandria, Mesir yang melibatkan beberapa pelajar Malaysia.
- KPT melalui MQA bekerjasama dengan Universiti Alexandria, KKM dan Lembaga Farmasi mencari penyelesaian terbaik.
- Isu timbul selepas universiti menukar nama program daripada Farmasi kepada Doktor Farmasi, menyebabkan kekeliruan pengiktirafan profesional.
- Bukan disebabkan kandungan atau kualiti program menurut KPT.
- KPT simpati kepada empat pelajar terlibat dan komited memantau serta mencari penyelesaian adil bagi melindungi masa depan mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kementerian melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk Universiti Alexandria, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Lembaga Farmasi Malaysia bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Cuma bila universiti itu tukar nama program, itulah isu teknikal yang timbul. Kasihanlah, saya pun simpati walaupun hanya melibatkan empat orang pelajar. Namun, kita tetap bersimpati dengan mereka dan kita telah memberi komitmen untuk membantu mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan, isu tersebut bukan berpunca daripada kandungan atau kualiti program pengajian, sebaliknya timbul selepas universiti berkenaan menukar nama program daripada Farmasi kepada Doktor Farmasi (PharmD), yang mencetuskan kekeliruan dari sudut pengiktirafan profesional.
Menurutnya, KPT memandang serius perkara itu dan sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak universiti bagi memastikan kebajikan serta masa depan pelajar yang terlibat terus terpelihara.
Datuk Seri Dr Zambry berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran MySISWA@JoC di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kementerian akan terus memantau perkembangan isu tersebut dan berusaha memastikan penyelesaian yang adil dapat dicapai untuk semua pihak yang terlibat.