Tiga tapak ekohidrologi UNESCO perlu diperkukuh – TPM Fadillah

Foto RTM

PUTRAJAYA, 3 November -Tiga Tapak Demonstrasi Ekohidrologi UNESCO di Malaysia perlu diperkasakan sebagai pusat penyelidikan bersama, latihan profesional dan pertukaran kepakaran di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tasik dan Tanah Lembap Putrajaya; Projek Pengurusan Air Hujan Mampan UTHM; Sistem Saliran Bioekologi BIOECODS USM.
  • Tasik Putrajaya menunjukkan hubungan pembangunan bandar, pengurusan ekologi dan kualiti air.
  • Projek UTHM fokus pada pengurusan air hujan; BIOECODS USM gabungkan fungsi saliran dan ekologi.
  • Tapak sebagai ruang pembelajaran bagi penyelidik, pembuat dasar, jurutera dan komuniti menilai serta menyesuaikan pendekatan ekohidrologi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketiga-tiga tapak berkenaan mencerminkan keupayaan Malaysia mengintegrasikan pengurusan sumber air dengan pemeliharaan ekosistem serta pembangunan mampan.

“Saya menggalakkan institusi berkaitan untuk memperkukuh tapak-tapak ini sebagai platform penyelidikan bersama, latihan profesional dan pertukaran ilmu di peringkat antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekohidrologi dan Daya Tahan Air (ICEWR 2026) sulung di The Everly Putrajaya, hari ini

Tiga tapak berkenaan ialah Tasik dan Tanah Lembap Putrajaya; Projek Pengurusan Air Hujan Mampan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor; serta Sistem Saliran Bioekologi (BIOECODS) di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Menurut beliau, Tasik dan Tanah Lembap Putrajaya memperlihatkan hubungan antara pembangunan bandar, pengurusan ekologi dan kualiti air.

Projek di UTHM pula memberi tumpuan kepada pendekatan pengurusan air hujan, manakala BIOECODS di USM menggabungkan fungsi saliran dan ekologi dalam pengurusan air hujan.

Ketiga-tiga tapak itu turut berperanan sebagai ruang pembelajaran bagi penyelidik, pembuat dasar, jurutera dan komuniti untuk menilai keberkesanan pendekatan ekohidrologi yang berpotensi disesuaikan di lokasi lain.

Beliau turut menegaskan kepentingan meneruskan perkongsian pengalaman dan kepakaran bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan secara lebih meluas, sekali gus memperkukuh sumbangan Malaysia dalam pembangunan ilmu dan kerjasama antarabangsa berkaitan pengurusan sumber air.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.