93 cubaan seludup dadah bernilai RM202.7 juta berjaya dipatahkan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 November – Sebanyak 93 percubaan menyeludup dadah bernilai RM202.7 juta berjaya dipatahkan di pintu masuk negara bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguatkuasaan dan pemeriksaan ketat di pintu masuk mencapai 100 peratus, termasuk penggunaan unit anjing pengesan K-9 untuk kes dadah.
  • Pemeriksaan melibatkan 3,637 penerbangan, 19,721 kru, 438,000 penumpang dan hampir 600,000 bagasi.
  • AKPS merekodkan 44 rampasan bernilai RM11.2 juta; tambah 41 rampasan RM42.38 juta (Ogos-Okt); tindakan bersepadu antara agensi digerakkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu hasil penguatkuasaan dan pemeriksaan lebih ketat bagi membanteras jenayah rentas sempadan.

Tegas beliau, kerajaan memandang serius kegiatan penyeludupan dadah, barangan terlarang dan senjata api yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Operasi khas pemeriksaan di pintu masuk negara sekarang ini sudah mencapai tahap 100 peratus. Jika dahulu pemeriksaan badan sering diprotes, kini kita menggunakan unit anjing pengesan (K-9) khusus untuk kes-kes dadah.

“Operasi ini dilaksanakan secara berterusan dan terbukti menerusi pemeriksaan yang telah dilaksanakan ke atas 3,637 penerbangan, membabitkan 19,721 kru, 438,000 pemeriksaan penumpang, serta hampir 600,000 bagasi,” katanya semasa persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengenai langkah kerajaan memperketat kawalan keselamatan dan menangani kelemahan penyelarasan antara agensi penguatkuasaan di pintu masuk negara.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri memaklumkan, tindakan penguatkuasaan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) turut merekodkan 44 kes rampasan dadah berasingan bernilai RM11.2 juta.

“Di bawah pelan tindakan terbaharu dari Ogos hingga Oktober lalu, sebanyak 41 kes rampasan tambahan dengan nilai RM42.38 juta telah berjaya direkodkan.

“Bagi memastikan kelompangan keselamatan terus ditutup, tindakan bersepadu kini digerakkan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi, termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pengangkutan (MOT), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB),” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.