
KUALA LUMPUR, 3 November – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Khamis ini.
- Juwai IQI jangka BNM mungkin menaikkan OPR 25 mata asas pada suku pertama 2027.
- Kashif Ansari berkata pertumbuhan ekonomi lebih kukuh dan inflasi terkawal menyokong kestabilan kadar faedah.
- BNM memberi isyarat mempunyai ruang menaikkan kadar jika tekanan harga meningkat; Gabenor kata paras semasa sesuai.
- Subsidi petrol RM1.99 seliter bantu menahan tekanan inflasi dan kos sara hidup, sokong perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi.
Menurut kumpulan teknologi hartanah antarabangsa, Juwai IQI, bank pusat berkemungkinan mengambil langkah menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus pada suku pertama 2027.
Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, jangkaan itu mengambil kira pertumbuhan ekonomi negara yang lebih kukuh daripada jangkaan, selain kadar inflasi yang masih terkawal.
”Kestabilan kadar faedah ketika ini turut membantu mengurangkan tekanan dalam pasaran hartanah susulan peningkatan kos pembinaan yang dikaitkan dengan harga diesel.
”Pasaran hartanah kekal stabil tanpa menunjukkan tanda-tanda lebihan hutang atau ketidakseimbangan pasaran yang ketara, sekali gus menjadi satu lagi faktor yang mengurangkan kemungkinan kenaikan kadar faedah pada November,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya BNM sebelum ini memberi isyarat bahawa bank pusat mempunyai ruang untuk menaikkan kadar faedah sekiranya tekanan harga meningkat.
Jelasnya, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour turut menyatakan kadar faedah semasa berada pada paras yang bersesuaian berdasarkan tahap inflasi dan pertumbuhan ekonomi ketika ini.
Mengulas prospek ekonomi, beliau berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka mencecah kira-kira 5.0 peratus tahun ini, manakala kerajaan mengunjurkan pertumbuhan antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027.
Bagaimanapun, tekanan inflasi berpotensi meningkat tahun depan berikutan jangkaan kenaikan kos tenaga, makanan dan input ekonomi pada awal 2027.
Sementara itu, Kashif berkata langkah kerajaan mengekalkan harga petrol bersubsidi pada RM1.99 seliter meskipun berdepan kejutan harga minyak global membantu membendung tekanan inflasi dan kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, subsidi berkenaan mengurangkan harga seliter petrol RON95 kira-kira 54 peratus dan diesel sebanyak 59 peratus, sekali gus membolehkan rakyat mengekalkan perbelanjaan bagi keperluan lain ketika harga bahan api global meningkat.
Beliau berkata harga bahan api bersubsidi turut membantu Malaysia mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh tanpa tekanan inflasi tinggi, seperti yang digambarkan oleh Bank Dunia.