Cubaan seludup 1,300 anak pokok pelbagai spesies gagal

Pelbagai anak pokok: rambutan, tekoma, kelapa, kenanga dan jambu dirampas/Foto PGA Briged Tenggara

PASIR MAS, 10 Jun – Kira-kira 1,300 anak pokok pelbagai spesies bernilai RM278,000 yang dipercayai diseludup dari Thailand dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan Kelantan, petang Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA menahan sebuah lori mencurigakan di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas sekitar pukul 2.15 petang; pemeriksaan menemui anak pokok di bahagian muatan.
  • Pemeriksaan mendapati pelbagai anak pokok: rambutan, tekoma, kelapa, kenanga dan jambu ditemui di lori.
  • Pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan anak pokok; seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
  • Kes dan barang dirampas diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan; kemasukan tanpa kebenaran berisiko bawa perosak dan penyakit tumbuhan.

Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan dilakukan kira-kira pukul 2.15 petang selepas menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas lori itu menemukan pelbagai jenis anak pokok di bahagian muatan belakang kenderaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori itu membawa 500 anak pokok rambutan, 200 anak pokok tekoma, 200 anak pokok kelapa, 200 anak pokok kenanga dan 200 anak pokok jambu.

“Pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan anak pokok tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Ahmad Radzi berkata, semua anak pokok itu diseludup masuk ke negara ini melalui Sungai Golok dipercayai akan dihantar ke Johor untuk pasaran tempatan.

“Kemasukan anak pokok tanpa kebenaran dan pemeriksaan kuarantin turut menimbulkan risiko membawa serangga perosak serta penyakit tumbuhan yang boleh menjejaskan sektor pertanian negara,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas lori yang digunakan untuk mengangkut anak pokok berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM278,000.

Kes dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.