“Saya mampu sesuaikan diri dengan Aaron.” – Kai Wun

Pemain beregu lelaki negara, Tee Kai Wun ditemui pemberita pada sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini / foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Pemain beregu lelaki negara, Tee Kai Wun, yakin mampu menyesuaikan diri dengan gandingan baharu bersama bekas juara dunia, Aaron Chia, dalam beberapa kejohanan akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kai Wun terkejut dimaklumkan gandingan baharu dua minggu lalu, namun menerima keputusan jurulatih dan pengurusan.
  • Dia puji Aaron pemain berkualiti, kuat dari segi pukulan dan tenang ketika tekanan, mahu terus belajar daripadanya.
  • Presiden BAM mengesahkan gandingan itu; aksi sulung dijadualkan pada Terbuka Jepun, Tokyo, 14 hingga 19 Julai.

Pemain berusia 26 tahun itu mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai gandingan baharu tersebut kira-kira dua minggu lalu, namun percaya mampu menyesuaikan diri dengan corak permainan rakan gandingannya itu.

“Saya percaya jurulatih dan pihak pengurusan sudah membuat pertimbangan terbaik. Sebagai pemain, saya perlu sentiasa bersedia dan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat, termasuk bergandingan dengan mana-mana pemain,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kelana Jaya.

Kai Wun turut menyifatkan Aaron sebagai pemain berkualiti yang memiliki kekuatan dari segi pukulan serta ketenangan ketika berdepan tekanan dalam perlawanan.

“Aaron pemain yang bagus. Sekiranya ada peluang, sudah tentu saya akan terus belajar daripadanya,” katanya.

Aaron dan Kai Wun sebelum ini pernah bergandingan mewakili Melaka ketika meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, selain beraksi bersama dalam kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark.

Aaron Chia dan Tee Kai Wun ketika beraksi bersama dalam kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark / foto BERNAMA

Sabtu lalu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengesahkan Aaron akan bergandingan dengan Kai Wun, manakala Soh Wooi Yik akan digandingkan bersama Man Wei Chong.

Kedua-dua gandingan baharu itu dijadualkan memulakan aksi sulung mereka pada Terbuka Jepun di Tokyo dari 14 hingga 19 Julai ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.