
KUALA LUMPUR, 9 Mei – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) digesa agar mengambil tindakan lebih drastik, termasuk menggugurkan pemain yang mempunyai masalah disiplin demi menyelamatkan reputasi skuad kebangsaan.
- Isu disiplin kini pada tahap kritikal, menurut Datuk Dr. Pekan Ramli serta pendedahan Lee Chong Wei dan Rexy Mainaky.
- BAM tidak boleh kompromi; pemain yang ingkar peraturan perlu dikenakan tindakan tegas, termasuk dikeluarkan jika perlu.
- Perkemas komunikasi dua hala dan tetapkan standard disiplin lebih ketat; bakat semata tidak mencukupi membentuk juara.
Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata isu disiplin yang kembali dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia(BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei serta Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky menunjukkan situasi berkenaan kini berada pada tahap kritikal.
Beliau menegaskan BAM seharusnya tidak lagi berkompromi terhadap pemain yang gagal mematuhi peraturan di dalam mahupun di luar gelanggang.
“Kalau betul disiplin menjadi masalah kepada pemain kita sekarang, BAM harus mengambil tindakan tegas. Tanpa disiplin, sudah pastilah kita tidak dapat melahirkan seorang pemain yang berada pada tahap tertinggi di peringkat dunia.
“Kalau mereka terpaksa dikeluarkan, keluarkan sahaja. Kita tidak perlu ada seorang pemain yang tidak berdisplin yang juga boleh sebenarnya merosakan pasukan”, jelasnya.
Menurut Pekan, pendedahan Rexy yang menyifatkan tindakan menegur pemain tertentu seperti “bercakap dengan tembok” membuktikan bahawa teguran jurulatih seolah-olah tidak lagi dihormati oleh segelintir pemain.
Beliau turut mengingatkan para pemain kebangsaan agar sedar akan tanggungjawab mereka sebagai atlet yang menuntut komitmen tinggi dalam setiap aspek.
Beliau turut menegaskan bakat semata-mata tidak memadai untuk membentuk karakter juara.
Sehubungan itu, beliau mengesyorkan agar BAM menetapkan standard disiplin yang lebih ketat serta memperkemaskan komunikasi dua hala bagi memastikan prestasi dan imej badminton negara terus terpelihara di persada antarabangsa.