
KUALA LUMPUR, 9 Mei – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025 yang dijadualkan berlangsung Rabu depan.
- Pengiktirafan terhadap visi dan kepimpinan luar biasa baginda dalam mentransformasikan landskap sukan Johor ke tahap profesional dan antarabangsa.
- Pembangunan JDT menjadi jenama sukan berjaya melalui dominasi domestik dan pencapaian membanggakan di pentas Asia.
- Memperkukuh penjenamaan JDT melalui pengurusan profesional, strategi pemasaran berkesan serta integrasi teknologi dan sains sukan.
- Pembangunan infrastruktur ikonik seperti Stadium Sultan Ibrahim, Pusat Belia TMIYC dan Khabib Gym mengukuhkan Johor sebagai hab sukan.
SAM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pengiktirafan tertinggi itu diberikan sebagai menghargai visi serta kepimpinan luar biasa baginda dalam mentransformasikan landskap sukan di Johor ke tahap profesional dan bertaraf antarabangsa.
Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), telah berjaya membangunkan kelab berkenaan sehingga muncul antara jenama sukan paling berjaya di negara ini menerusi dominasi berterusan dalam saingan domestik serta pencapaian membanggakan di pentas Asia.
“Baginda memainkan peranan besar dalam memperkukuh penjenamaan JDT sebagai organisasi sukan moden bertaraf dunia melalui pengurusan profesional, strategi pemasaran yang berkesan serta integrasi teknologi dan sains sukan yang mendahului zaman,” menurut kenyataan itu.
Selain kecemerlangan bola sepak, usaha baginda turut merangkumi pembangunan infrastruktur ikonik seperti Stadium Sultan Ibrahim serta pengilhaman Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail (TMIYC) dan Khabib Gym yang secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab sukan utama negara.
Sementara itu, Naib Presiden SAM, Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata, pendekatan holistik dan berpandangan jauh baginda telah berjaya meningkatkan standard pengurusan sukan, bukan sahaja di peringkat negeri malah memberi impak kepada negara.
“Penganugerahan ini adalah penghargaan terhadap dedikasi, kepimpinan dan impak besar baginda dalam memperkasakan pembangunan sukan Johor serta mengangkat imej negeri itu di persada antarabangsa,” katanya.
Majlis anugerah berprestij yang dijadual berlangsung di ibu negara itu turut akan menyampaikan beberapa pengiktirafan lain termasuk Anugerah Atlet Terbaik, Atlet Para Terbaik dan Anugerah Atlet Muda Terbaik bagi menghargai pencapaian atlet negara sepanjang tahun lalu.