PM mahu institusi pondok perlu terus diperkasa

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa program Sebarkan Salam: Kota Bharu Berselawat di Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu/ Foto FB Anwar Ibrahim/ PMO

KOTA BHARU, 1 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu institusi pondok terus diperkasakan sebagai benteng penting dalam mempertahankan tradisi keilmuan, akidah dan pembentukan sahsiah umat Islam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM200 juta untuk memastikan kelangsungan dan pembangunan institusi pondok.
  • Kurikulum pondok dicadangkan memasukkan elemen teknologi dan kecerdasan buatan melalui kerjasama dengan MDEC.
  • Usaha dipacu supaya pondok mampu melahirkan graduan berpendidikan tinggi dan membuka laluan ke peringkat universiti.

Beliau berkata, sistem pendidikan pondok mempunyai keistimewaan tersendiri kerana terus memelihara warisan keilmuan Islam atau turath yang diwarisi sejak lebih seribu tahun lalu.

Menurut Datuk Seri Anwar pengukuhan pendidikan Islam tidak boleh hanya bergantung kepada semangat dan seruan agama semata-mata, sebaliknya perlu berteraskan kefahaman mendalam terhadap al-Quran, sunnah serta warisan keilmuan ulama terdahulu.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil pendekatan untuk memperkukuh institusi berkenaan termasuk melalui penambahan peruntukan RM200 juta bagi membantu kelangsungan dan pembangunan pendidikan pondok.

Menurut Datuk Seri Anwar, ke arah itu juga pihaknya mengambil inisiatif memperkenalkan elemen teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam kurikulum pendidikan pondok melalui kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Bagaimanapun, penentuan kurikulum masih kekal di bawah bidang kuasa institusi pondok itu sendiri, manakala kerajaan hanya mengemukakan cadangan penambahbaikan supaya pelajarnya tidak ketinggalan dalam menghadapi arus perkembangan teknologi semasa.

“Hampir semua mengatakan mesti kembali perkukuhkan turath dan pondok antara satu-satunya yang ada. Dahulu institusi berkenaan pernah terabai, termasuk dari segi peruntukan. Alhamdulillah, di bawah Kerajaan MADANI, peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta disediakan bagi memastikan kelangsungan dan pembangunan institusi pondok.

“Tradisi keilmuan Islam ini amat penting, namun institusi pondok tidak pernah diberikan pengiktirafan sewajarnya secara rasmi. Justeru, sejak tiga tahun lalu, kita mengambil langkah secara berperingkat untuk memulihkan kemudahan sedia ada dan melaksanakan penambahbaikan.

“Terbaharu, menerusi kerjasama dengan MDEC, kita turut mengemukakan cadangan penerapan elemen teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam kurikulum pendidikan pondok.

“Ini tidak bermakna kerajaan akan campur tangan dalam penentuan kurikulum kerana perkara itu kekal di bawah bidang kuasa institusi pondok sendiri. Sebaliknya, kita hanya mengemukakan cadangan penambahbaikan supaya pelajar tidak ketinggalan dalam menghadapi persaingan dan perkembangan teknologi semasa”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi, Kota Bharu, malam tadi.

Datuk Seri Anwar turut menyuarakan harapan agar institusi pondok dapat diperkembangkan sehingga mampu melahirkan golongan berpendidikan tinggi, termasuk menerusi laluan pengajian ke peringkat universiti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.