
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Beregu wanita muda negara, Noraqilah Maisarah Ramdan memilih pendekatan realistik dalam merancang perkembangan karier bersama pasangannya, Low Zi Yu dengan meletakkan sasaran untuk menembusi kelompok 50 terbaik dunia terlebih dahulu.
- Mara ke suku akhir Terbuka Australia termasuk kemenangan mengejut ke atas pasangan ranking lapan dunia Taiwan.
- Perkembangan positif dilihat sebagai petanda peningkatan prestasi sejak digandingkan, terutama menentang pasangan elit dunia.
- Noraqilah sebelumnya fokus beregu campuran; gandingan bersama Zi Yu membuka keyakinan baru untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
- Fokus utama kini adalah terus meningkatkan prestasi dan konsisten memberikan tentangan kepada setiap lawan.
Beliau menyatakan perancangan bersama gandingnya itu tidak mahu terlalu terburu-buru mengejar kedudukan lebih tinggi sebaliknya mahu membina prestasi secara berperingkat sebelum menyasarkan tempat dalam kelompok 32 terbaik dunia.
“Buat masa ini, saya dan Zi Yu masih meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 50 terbaik dunia terlebih dahulu.
“Selepas itu, barulah kami akan melihat peluang untuk memburu kedudukan dalam kelompok 32 terbaik dunia,” katanya.
Pasangan muda negara itu mula mencuri perhatian selepas mara ke suku akhir Terbuka Australia baru-baru ini termasuk melakar kemenangan mengejut ke atas pasangan ranking kelapan dunia dari Taiwan.
Perkembangan positif itu dilihat sebagai petanda peningkatan prestasi mereka sejak digandingkan, terutama ketika berdepan pasangan-pasangan yang berada dalam kelompok elit dunia.
Noraqilah yang sebelum ini lebih memberi tumpuan kepada acara beregu campuran turut mengakui gandingannya bersama Zi Yu telah membuka keyakinan baharu untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah untuk terus meningkatkan prestasi dan konsisten memberikan tentangan kepada setiap lawan yang dihadapi.