
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mahu semua gandingan baharu beregu lelaki negara yang dibentuk menerusi rombakan terkini mempunyai sasaran jelas untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
- Setiap pasangan diberi peluang dinilai berdasarkan prestasi kejohanan antarabangsa.
- Rombakan adalah perancangan jangka panjang untuk melahirkan gandingan mampu bersaing di pentas dunia.
- Pasangan berjaya memenangi kejohanan besar perlu dikekalkan, contohnya Aaron Chia dan Aaron Tai.
- Pemain mesti miliki mentaliti juara dan terima perubahan pasangan sebagai cabaran untuk cari pingat emas.
Menurutnya, setiap pasangan perlu diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan masing-masing dan dinilai berdasarkan prestasi yang dipamerkan dalam kejohanan antarabangsa.
Rexy berkata rombakan yang dilakukan bukan sekadar pertukaran pasangan, sebaliknya sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk melahirkan gandingan yang mampu bersaing di pentas tertinggi dunia.
“Bagi saya, sasaran utama adalah memastikan pasangan yang dibentuk mampu layak ke Sukan Olimpik.
“Jika gandingan seperti Aaron Chia dan Aaron Tai berjaya menunjukkan prestasi cemerlang serta memenangi kejohanan besar seperti Terbuka China, sudah tentu mereka perlu dikekalkan.
“Kita pernah melihat perkara sama berlaku kepada Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang terus mencipta kejayaan selepas digandingkan,” katanya selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan beberapa gandingan baharu bagi menghadapi siri kejohanan akan datang termasuk Aaron Chia-Aaron Tai, Man Wei Chong-Soh Wooi Yik, Tee Kai Wun-Yap Roy King serta Arif Junaidi-Kang Khai Xing.
Dalam pada itu, Rexy menegaskan setiap pemain perlu mempunyai mentaliti juara dan sentiasa bersedia menerima sebarang perubahan pasangan demi kepentingan pasukan.
“Itulah mentaliti yang saya mahu lihat dalam kalangan pemain. Mereka tidak boleh melihat perubahan pasangan sebagai sesuatu yang negatif.
“Sebaliknya, apabila diberikan pasangan yang lebih muda, mereka perlu melihatnya sebagai satu cabaran dan peluang untuk memburu kejayaan serta membawa pulang pingat emas buat negara,” katanya.