Piala Agong: PDRM temui keserasian, tekad pertahan kejuaraan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Juara bertahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran awal menjelang aksi separuh akhir Piala Agong apabila menyifatkan pasukan itu kini sudah menemui keserasian dalam usaha mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rombakan pemain mencetuskan kesukaran pada peringkat kumpulan; kemenangan suku akhir pacu peningkatan prestasi pasukan.
  • Jurulatih perkemas taktikal; imbangan serangan antara barisan hadapan dan belakang menjadikan pasukan lebih berbahaya, fokus pertahanan lawan Terengganu.
  • Kapten gesa disiplin tinggi, jangan leka atau cari balas dendam; pemain tentukan nasib mengikut perancangan di atas padang.

Ketua Jurulatih PDRM, K. Dinesvaran mengakui pasukannya berdepan laluan berliku pada peringkat kumpulan berikutan rombakan pemain yang drastik, namun segalanya berubah selepas kemenangan meyakinkan ke atas Negeri Sembilan di peringkat suku akhir.

Menurut Dinesvaran, cabaran terbesar musim ini adalah menyatukan pemain sedia ada dengan muka-muka baharu termasuk pemain import.

Kegagalan mendapatkan keserasian dengan cepat menyaksikan PDRM tumpas kepada Kelantan dan Terengganu sebelum ini.

“Daripada pusingan pertama ke pusingan kedua, kami mencuba banyak konsep latihan untuk mendapatkan keserasian secepat mungkin.

“Hanya semasa suku akhir baru saya nampak persembahan terbaik dan pasukan mula bergabung dengan baik.

“Saya tak mahu pemain anggap perlawanan menentang Terengganu nanti sebagai misi balas dendam, sebaliknya mahu mereka ambil balik maruah pasukan.

“Pasukan yang susah dikalahkan adalah pasukan yang bermain bersama-sama,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di PULAPOL di sini.

Tambahnya, kekalahan di peringkat awal memberi ruang kepadanya untuk belajar dari segi kejurulatihan, memandangkan PDRM sering mencatat rekod bersih tanpa kalah dalam tiga tahun kejuaraan sebelum ini.

Sementara itu, Kapten PDRM, Zulkiflee Azmi melihat perubahan taktikal yang diterapkan jurulatih kini menjadikan PDRM lebih berbahaya dan tidak lagi hanya bergantung pada kekuatan barisan hadapan.

“Sebelum ini orang tahu kekuatan PDRM adalah pada bahagian hadapan. Tapi kali ini, jurulatih telah perbaiki taktikal di mana kami mengimbangi serangan antara barisan hadapan dan belakang. Ini menjadikan rentak kami lebih baik.

“Bercakap mengenai Terengganu, mereka sebuah pasukan yang mempunyai disiplin yang sangat tinggi. Walaupun mereka ketinggalan, mereka tetap tenang mencari mata melalui penalti untuk merapatkan jurang. Jadi, aspek pertahanan akan menjadi fokus utama kami nanti,” jelas Zulkiflee.

Meskipun sedar tekanan hebat untuk mengekalkan kejuaraan buat kali keempat, Zulkiflee menggesa rakan sepasukannya supaya tidak leka dan mengikut segala perancangan taktikal yang telah disusun.

“Untuk kekalkan kejuaraan memang payah berbanding menjadi pasukan bukan pilihan. Kita kena tingkatkan disiplin dan ingat kembali apa sasaran asal kita sertai pasukan ini.

“Selebihnya, pemain yang akan menentukan nasib di atas padang nanti,” katanya.

PDRM dijadualkan bertemu Terengganu pada 20 Jun ini dalam misi memburu slot ke perlawanan akhir, sekali gus mahu melakar sejarah memenangi Piala Agong buat kali keempat berturut-turut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.