
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Jaminan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari untuk menangani secara menyeluruh isu membabitkan Pengarah Teknikal Program Berbasikal Negara, John Beasley disifatkan sebagai langkah positif dalam meredakan kemelut yang menjejaskan pembangunan sukan berbasikal negara.
- Dialog antara semua pihak berjaya membuka ruang persefahaman dan memberi keyakinan Beasley terus membimbing skuad trek ke Komanwel dan Sukan Asia.
- Isu ini perlu dijadikan permulaan untuk merangka pelan peralihan kepimpinan kejurulatihan yang lebih tersusun.
- Jasa Beasley tidak boleh dinafikan, namun Malaysia tidak boleh terus bergantung pada seorang individu terlalu lama.
- KBS dan MSN perlu berperanan sebagai penghubung untuk menyelesaikan perbezaan secara profesional dan memajukan pembangunan jurulatih tempatan.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata sesi dialog yang diadakan melibatkan semua pihak berkepentingan berjaya membuka ruang persefahaman selain memberi keyakinan bahawa Beasley akan terus membimbing skuad trek negara menghadapi dua temasya utama tahun ini iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
“Saya difahamkan dialog itu telah menampakkan hasil. Ia merupakan satu langkah penyelesaian yang baik hasil pertemuan antara John Beasley, persatuan negeri dan PKBM.
“Pada masa sama, terdapat jaminan bahawa beliau akan terus membimbing skuad berbasikal trek negara menghadapi kejohanan besar tahun ini khususnya Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan isu berkenaan tidak seharusnya tertumpu kepada usaha mengekalkan Beasley semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan titik permulaan untuk merangka pelan peralihan kepimpinan kejurulatihan yang lebih tersusun.
Menurutnya, jasa Beasley dalam membentuk kejayaan berbasikal trek negara termasuk melahirkan atlet bertaraf dunia seperti Datuk Mohd Azizulhasni Awang sememangnya tidak boleh dipertikaikan, namun Malaysia tidak boleh terus bergantung pada seorang individu untuk tempoh yang terlalu panjang.
“Kita tidak boleh menafikan kepakaran dan sumbangan John Beasley kepada sukan berbasikal trek negara. Tetapi persoalannya, sampai bila kita mahu bergantung kepada beliau.
“Selepas hampir dua dekad, sudah tiba masanya kita memikirkan pelan penggantian melalui proses pemindahan ilmu dan pembangunan jurulatih tempatan supaya kesinambungan kecemerlangan dapat diteruskan,” katanya.
Beliau turut berpandangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) perlu terus memainkan peranan sebagai penghubung antara badan induk, persatuan negeri dan barisan kejurulatihan kebangsaan bagi memastikan sebarang perbezaan pandangan dapat diselesaikan secara profesional.
Menurutnya, keutamaan semua pihak perlu tertumpu kepada kepentingan pembangunan berbasikal negara, selain memastikan proses pembangunan jurulatih tempatan berjalan seiring dengan usaha mengekalkan kecemerlangan skuad trek di pentas antarabangsa.