
TEHRAN, 16 Jun – Visa yang dikeluarkan Amerika Syarikat kepada seorang pemain pasukan bola sepak kebangsaan Iran dilaporkan telah tamat tempoh.
- Pemain sayap Mehdi Torabi hanya diberi visa kemasukan tunggal berbanding rakan sepasukan yang dapat visa berbilang.
- Persekutuan Bola Sepak Iran sedang usaha memperoleh visa baharu agar Torabi boleh terus sertai perlawanan seterusnya.
- Isu visa menambah masalah perjalanan skuad; beberapa delegasi ditolak visa AS dan kapten Taremi hadapi kesukaran di lapangan terbang.
Menurut laporan media kerajaan, keadaan itu sekali gus menimbulkan ketidakpastian mengenai perjuangannya pada kempen Piala Dunia 2026.
Pemain sayap, Mehdi Torabi, hanya diberikan visa kemasukan tunggal, bukannya visa kemasukan berbilang yang diberikan kepada pemain lain dalam skuad kebangsaan Iran yang menyertai kejohanan berprestij itu.
Dalam perlawanan pembukaan semalam, pasukan Melli mencatat keputusan seri 2-2 menentang New Zealand.
“Setelah pasukan kebangsaan berkunjung ke Los Angeles untuk perlawanan menentang New Zealand dan selepas tamatnya perlawanan itu, visa Torabi kini telah tamat tempoh,” lapor agensi berita kerajaan IRNA.
Agensi itu menambah bahawa Persekutuan Bola Sepak Iran telah mengambil langkah untuk mendapatkan visa baharu bagi Torabi supaya dia dapat terus menyertai pasukan kebangsaan untuk perlawanan seterusnya.
IRNA tidak mendedahkan sama ada Torabi berjaya meninggalkan Amerika Syarikat, tetapi menyatakan bahawa semua anggota pasukan kebangsaan berada di dalam pesawat yang berlepas dari Amerika Syarikat menuju ke Mexico selepas perlawanan tersebut.
Pihak Amerika Syarikat dan penganjur kejohanan belum memberikan sebarang komen segera mengenai perkara itu.
Laporan ini muncul selepas beberapa isu berkaitan visa yang menjejaskan delegasi Iran semasa konflik Asia Barat antara Amerika Syarikat denga Iran.
Kedua-dua negara bagaimanapun telah bersetuju dengan satu rangka kerja untuk menamatkan konflik tersebut.
Namun, Iran sebelum ini telah memindahkan penempatan dan latihan skuad kebangsaan ke Mexico atas faktor keselamatan.
Mereka kini perlu berulang-alik masuk dan keluar dari Amerika Syarikat untuk perlawanan peringkat kumpulan.
Pegawai Iran sebelum ini menyatakan bahawa kira-kira 15 anggota delegasi mereka telah ditolak permohonan visa Amerika Syarikat.
Dalam laporan berasingan, IRNA turut menyatakan bahawa kapten Iran, Mehdi Taremi, serta seorang anggota staf pasukan menghadapi kesukaran di lapangan terbang Los Angeles selepas keputusan seri pasukan itu dengan New Zealand ketika mereka hendak berlepas.
Iran akan menentang Belgium dalam perlawanan kedua Kumpulan G pada Ahad di Los Angeles sebelum berdepan Mesir pada 26 Jun di Seattle. – AFP