Bayi dua bulan korban serangan bom gerila di Colombia

Foto / AFP

BOGOTA, 3 November – Seorang bayi perempuan berusia dua bulan antara empat mangsa yang maut dalam serangan bom trak berhampiran sebuah pangkalan tentera di Colombia, menurut pihak berkuasa pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan didakwa didalangi serpihan kumpulan FARC yang menandatangani perjanjian damai 2016.
  • Letupan merosakkan hospital dan beberapa rumah; sekurang-kurangnya 17 orang cedera.
  • Presiden De la Espriella hentikan rundingan damai, perintahkan serangan ketenteraan dan berjanji membenteras kumpulan pengganas dadah.

Serangan yang dipercayai dilakukan kumpulan gerila itu berlaku pada malam Ahad di bandar Planadas, wilayah Tolima, ketika Presiden baharu Colombia, Abelardo de la Espriella meningkatkan operasi ketenteraan terhadap kumpulan pemberontak berhaluan kiri yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Pihak berkuasa berkata sebuah hospital dan beberapa rumah turut mengalami kerosakan dalam letupan itu, manakala sekurang-kurangnya 17 orang cedera.

Gabenor Tolima, Adriana Magali Matiz, menerusi hantaran di X memaklumkan angka korban awal serangan itu ialah empat orang, termasuk seorang bayi perempuan berusia dua bulan.

Kementerian Pertahanan Colombia mendakwaperbuatan berkenaan didalangi oleh serpihan kumpulan gerila Angkatan Bersenjata Revolusioner Colombia (FARC), yang menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada 2016 bagi menamatkan konflik bersenjata selama beberapa dekad.

Datuk Bandar Planadas, Juan Camilo Hueje, berkata dron dilihat berterbangan di ruang udara bandar itu.

Kumpulan gerila yang terbabit dalam perdagangan kokain di Colombia dilaporkan meningkatkan penggunaan dron secara ketara dalam konflik dengan kerajaan, termasuk bagi tujuan pengawasan dan melancarkan serangan.

De la Espriella menerusi X menyalahkan kumpulan yang disifatkannya sebagai pengganas dadah atas serangan di Planadas serta beberapa insiden lain, sambil berikrar akan membenteras kumpulan berkenaan.

Matiz pula menyifatkan pengeboman itu sebagai tindakan jenayah yang kejam dan dikecam sekeras-kerasnya.

Serangan terbaharu itu menyusul beberapa siri serangan oleh kumpulan gerila yang menolak perjanjian damai bersejarah antara kerajaan dengan FARC kira-kira sedekad lalu.

De la Espriella, yang mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS), menghentikan semua rundingan damai selepas mengambil alih pemerintahan pada Ogos lalu.

Beliau kemudian mengarahkan beberapa siri serangan udara terhadap kumpulan gerila berkenaan, yang bertindak balas menerusi pengeboman dan serangan menggunakan dron.

Pada Sabtu, seorang anggota polis terbunuh selepas sebuah motosikal yang dipasang bahan letupan meletup ketika sambutan Halloween di bandar Algeciras, wilayah Huila yang bersempadan dengan Tolima di selatan negara itu.

Pada Jumaat, De la Espriella mengarahkan penempatan anggota tentera di Cucuta, bandar utama di sempadan Venezuela, susulan peningkatan serangan di wilayah berkenaan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.