Arab Saudi bantu kekang tekanan pasaran tenaga

Foto REUTERS

RIYADH, 17 Jun – Arab Saudi memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran serta penutupan Selat Hormuz terhadap pasaran tenaga global, kata Ketua Pengarang akhbar Al-Eqtisadiah, Mohammed Al-Bishi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arab Saudi meningkatkan eksport bahan api penerbangan untuk menampung kekurangan dan mengurangkan kesan terhadap operasi syarikat penerbangan.
  • Langkah itu membantu memastikan kesinambungan bekalan serta mengurangkan tekanan terhadap sektor penerbangan dan inflasi global.
  • Pasaran tenaga kini berdepan krisis serius akibat gangguan pengeluaran serentak dan penutupan laluan utama, menimbulkan tekanan bekalan luar biasa.
  • Pemeterai MoU AS-Iran tidak menjamin pemulihan segera; pasaran dijangka pulih selewat-lewatnya hujung 2026 memandangkan fasiliti penapisan perlu dihidupkan semula.

Menurut beliau, negara itu berjaya berbuat demikian menerusi sokongan terhadap bekalan tenaga, khususnya bahan api penerbangan, selain memperkukuh laluan eksport minyak ketika pasaran berdepan cabaran luar biasa dari segi bekalan dan harga.

Perkembangan itu berlaku ketika pasaran global menantikan pengumuman memorandum persefahaman (MoU) antara AS dan Iran yang dijangka dimeterai secara rasmi di Switzerland pada 19 Jun.

Al-Bishi berkata, bagi menampung kekurangan bekalan bahan api penerbangan serta mengurangkan kesan terhadap sektor penerbangan global, Arab Saudi telah meningkatkan eksport bahan api penerbangan ke paras lebih tinggi sejak tercetusnya perang AS-Iran dan penutupan Selat Hormuz.

Langkah itu membantu memastikan kesinambungan bekalan serta mengurangkan tekanan terhadap syarikat penerbangan.

“Saya yakin Arab Saudi meningkatkan pengeluaran bahan api penerbangan bagi memastikan kesinambungan industri penting ini yang merupakan antara sektor pertama terkesan akibat krisis tersebut.

“Banyak syarikat penerbangan mengumumkan mereka berdepan cabaran operasi yang besar, malah ada yang terpaksa memfailkan kebankrapan.

“Saya percaya tanggungjawab antarabangsa yang ditunjukkan Arab Saudi sepanjang krisis ini membantu mengekalkan kadar inflasi global pada tahap terkawal serta memastikan harga minyak kekal pada paras munasabah,” katanya.

Beliau berpandangan krisis semasa merupakan antara yang paling serius pernah disaksikan pasaran tenaga global.

Gangguan pengeluaran di beberapa negara pengeluar berlaku serentak dengan penutupan Selat Hormuz, sekali gus mewujudkan tekanan luar biasa terhadap rantaian bekalan serta pasaran minyak dan gas.

“Kita sedang berdepan antara tempoh paling kritikal dalam sejarah pasaran tenaga. Pasaran global mengalami kejutan berganda iaitu gangguan bekalan tenaga melalui Selat Hormuz dan pada masa sama pengeluaran merosot akibat gangguan bekalan di negara seperti Kuwait, Qatar, Iraq dan Iran, selain sebahagian pengeluaran Arab Saudi.

“Buat pertama kali, pasaran tenaga berdepan krisis serentak melibatkan bekalan dan pengeluaran. Apa yang berlaku hari ini sebenarnya adalah usaha menangani krisis melalui langkah kecemasan dan penyelesaian sementara,” katanya.

Al-Bishi turut menegaskan bahawa pemeteraian MoU antara AS dan Iran serta kemungkinan penghentian konflik dan pembukaan semula Selat Hormuz tidak akan membawa kepada kestabilan segera dalam pasaran tenaga global.

Menurutnya, cabaran dalam pasaran tenaga dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga penghujung 2026 memandangkan proses menghidupkan semula beberapa loji penapisan minyak serta memulihkan laluan bekalan kepada keadaan normal memerlukan masa.

“Malah, pemulihan pasaran tidak akan berlaku serta-merta walaupun keadaan geopolitik di rantau ini bertambah baik,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.