
HEBRON, 16 Jun– Israel mengambil alih kuasa perancangan dan pembangunan di kawasan sekitar Masjid Ibrahimi di Hebron, Tebing Barat yang diduduki.
- Langkah itu menamatkan pengaturan di bawah Perjanjian Hebron sejak 1997.
- Sebelumnya pihak berkuasa Palestin kendalikan perancangan dan pembangunan seluruh Hebron.
- Israel berkata kuasa dipindahkan kepada agensi yang urus penempatan Yahudi dan tapak keagamaan.
- Datuk Bandar dan Presiden Palestin mengutuk tindakan dan akan merujuk kes kepada UNESCO serta badan antarabangsa.
Langkah itu sekali gus menamatkan pengaturan yang dilaksanakan bawah Perjanjian Hebron sejak 1997.
Sebelum ini, pihak berkuasa Palestin mempunyai bidang kuasa perancangan dan pembangunan di seluruh Hebron termasuk kawasan berkenaan.
Menurut pihak berkuasa Israel, kuasa tersebut kini dipindahkan kepada agensi Israel yang menguruskan kawasan penempatan Yahudi dan tapak keagamaan di bandar itu.
Datuk Bandar Hebron, Yousef Al-Jabari membantah keputusan tersebut dan menyifatkannya sebagai pelanggaran terhadap perjanjian sedia ada.
Beliau berkata pihaknya akan membawa perkara itu kepada UNESCO serta badan antarabangsa berkaitan bagi mempertahankan status Hebron.
“Kami akan berhubung dengan pihak berkaitan di peringkat antarabangsa untuk memastikan perjanjian yang telah dipersetujui terus dihormati,” katanya.
Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas turut mengutuk tindakan itu dan menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Hebron merupakan antara bandar paling sensitif di Tebing Barat kerana menempatkan Masjid Ibrahimi yang turut dikenali oleh penganut Yahudi sebagai Makam Para Nabi. -REUTERS