
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkukuh keselamatan platform penstriman RTMKlik menerusi pelaksanaan kawalan geo-lokasi pelbagai lapisan bagi melindungi hak siaran eksklusif Piala Dunia FIFA 2026.
- Tindakan susulan laporan cubaan akses dari luar negara menggunakan VPN.
- Komitmen memastikan perkhidmatan lancar untuk penonton tempatan dan mematuhi syarat pelesenan serta hak penyiaran.
- Pemantauan dan penambahbaikan teknikal berterusan bagi menjamin kestabilan platform serta pengalaman tontonan optimum.
RTM dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah tersebut diambil susulan laporan mengenai cubaan akses siaran kejohanan berkenaan dari luar negara menerusi penggunaan aplikasi Rangkaian Persendirian Maya (VPN).
“Sebagai pemegang hak siaran Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia, RTM komited memastikan perkhidmatan ini dapat dinikmati dengan lancar oleh penonton tempatan selain mematuhi syarat pelesenan serta hak penyiaran yang ditetapkan.
“Pemantauan dan penambahbaikan teknikal turut dilaksanakan secara berterusan bagi menjamin kestabilan platform serta memberikan pengalaman tontonan yang optimum kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.
RTM turut menghargai keprihatinan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklum balas bagi membantu meningkatkan mutu perkhidmatan penyiaran negara.