Pasaran modal Malaysia terus kukuh, cecah RM4.31 trilion

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 April– Pasaran modal Malaysia terus menunjukkan daya tahan pada 2025 serta kekal berperanan penting dalam memudah cara pengumpulan modal untuk menyokong ekonomi domestik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saiz pasaran modal meningkat kepada RM4.31 trilion pada 2025, mencerminkan pemulihan dan pertumbuhan berterusan.
  • Pertumbuhan disokong peningkatan bon dan sukuk yang mengimbangi sedikit penyusutan permodalan ekuiti.
  • Aktiviti pasaran kukuh: 60 IPO dicatat, pasaran bon berkembang, dan derivatif rekod kedua berturut-turut dengan 23.30 juta kontrak.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata saiz pasaran modal meningkat kepada RM4.31 trilion pada 2025 berbanding RM4.17 trilion pada 2024.

Jelasnya, ia disokong peningkatan jumlah bon dan sukuk yang mengimbangi penurunan kecil permodalan ekuiti.

“Walaupun berdepan cabaran tarif dan pelbagai isu, ekonomi global menunjukkan prestasi yang agak baik. Apabila melihat kepada pasaran modal, ia juga didapati berprestasi lebih baik daripada jangkaan.

“Apakah yang mendorong prestasi lebih baik ini? Sebahagiannya kerana jangkaan awal terhadap tarif, mendorong pihak tertentu membuat tempahan berlebihan bagi stok mereka, sekali gus menyebabkan aktiviti perdagangan lebih tinggi daripada jangkaan dalam tempoh setahun,” katanya pada taklimat laporan Tahunan SC 2025 di sini, hari ini.

SC menerusi laporan itu turut memaklumkan, permodalan pasaran ekuiti negara susut kepada RM2.06 trilion daripada RM2.08 trillion pada 2024.

Sementara itu, permodalan pasaran penanda aras FBM KLCI meningkat kepada RM1.19 trilion daripada RM1.15 trillion.

Sebanyak 60 tawaran awam permulaan (IPO) direkodkan sepanjang tahun lalu, mengatasi 55 penyenaraian pada 2024.

Sementara itu, pasaran bon terus berkembang kepada RM2.25 trilion daripada RM2.10 trilion, disokong oleh penebusan bon kerajaan yang lebih rendah serta peningkatan terbitan bon korporat.

Pasaran derivatif juga menunjukkan prestasi yang mantap pada 2025, mencatatkan jumlah rekod kedua berturut-turut sebanyak 23.30 juta kontrak diniagakan berbanding 22.75 juta pada tahun sebelumnya.