
KUALA LUMPUR, 22 April– Semakan struktur fi yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertujuan memastikan kemampanan kewangan badan pengawal selia itu bagi jangka masa panjang, berikutan model pendapatan sedia ada sangat bergantung kepada aktiviti pasaran.
- Pendapatan levi kini turun naik kerana kutipan berdasarkan nilai transaksi, mendedahkan SC kepada risiko ketidaktentuan pendapatan.
- Pendapatan tambahan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kecekapan operasi dan memperluas penggunaan teknologi dalam sistem kawal selia.
- Semakan bertujuan mengimbangi semula struktur kewangan dengan memperkenalkan elemen fi tetap dan fi tahunan.
- Peraturan fi yang disemak berkuat kuasa 1 Januari 2026, dengan tempoh konsesi tiga tahun termasuk potongan 50% dan 20%.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkat pendapatan suruhanjaya ketika ini bersifat turun naik kerana kutipan levi adalah berdasarkan nilai transaksi dalam pasaran modal.
“Kami tidak mengubahnya selama 30 tahun. Saya berpendapat adalah wajar untuk kita laksanakannya ketika ini, dan kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak (melakukannya) untuk tujuan keuntungan,” katanya kepada pemberita semasa taklimat Laporan Tahunan SC 2025, di sini, hari ini.
Jelasnya, pendapatan tambahan yang diperoleh akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kecekapan operasi, termasuk memperluas penggunaan teknologi dalam sistem kawal selia.
Sementara itu, Pengarah Urusan SC, Datin Paduka Azalina Adham berkata struktur berasaskan levi mendedahkan SC kepada risiko ketidaktentuan pendapatan mengikut keadaan pasaran, sedangkan fungsi teras pengawalseliaan tetap berjalan seperti biasa.
Beliau berkata kerja-kerja penyeliaan, penguatkuasaan dan siasatan tidak berubah mengikut kitaran pasaran sekali gus menjadikan model pendapatan yang terlalu bergantung kepada aktiviti dagangan yang kurang mampan.
“Sehubungan itu, semakan berkenaan bertujuan mengimbangi semula struktur kewangan dengan memperkenalkan elemen fi tetap dan fi tahunan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap faktor pasaran,”katanya.
SC telah melaksanakan peraturan fi yang disemak semula berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Bagi memastikan peralihan industri yang lancar, SC memperkenalkan tempoh konsesi selama tiga tahun bermula 2026 hingga 2028.
Dalam tempoh tersebut, pengurangan sebanyak 50 peratus diberikan ke atas fi tahunan berubah-ubah, manakala pengurangan 20 peratus dikenakan bagi fi transaksi berkaitan produk dan aktiviti pengumpulan dana.
Selain itu, konsesi turut merangkumi pengurangan sebanyak 20 peratus ke atas fi tahunan bagi dana unit amanah dan dana borong.