
LABUAN, 17 Jun – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di kawasan Sungai Ganggarak Permai di sini, petang tadi.
- Pusat Gerakan JBPM Wilayah Persekutuan Labuan menerima panggilan kecemasan pada 6.36 petang.
- Pasukan BBP Layangan mengesahkan kejadian berdasarkan maklumat orang awam dan mengaktifkan operasi SAR permukaan air.
- Operasi diketuai PBK I Mohd Fazlie Ardain dengan 14 anggota; dua kanak-kanak diselamatkan, seorang lagi masih belum ditemui.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.36 petang.
Menurut laporan awal JBPM, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Layangan yang tiba di lokasi mengesahkan kejadian tersebut berdasarkan maklumat orang awam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera diaktifkan.
Operasi pencarian dijalankan di permukaan air oleh anggota bomba bagi mengesan mangsa, selain turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tanjung Aru.
Operasi SAR itu diketuai Komander Operasi, PBK I Mohd. Fazlie Ardain, membabitkan kekuatan 14 anggota bomba.
Setakat pukul 9.15 malam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan.
Difahamkan, kejadian petang tadi melibatkan tiga orang kanak-kanak, dengan dua daripadanya berjaya diselamatkan manakala seorang lagi masih belum ditemui.
Operasi pencarian membabitkan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang terus giat menjalankan usaha mengesan mangsa.