
MADRID, 17 Jun – Real Madrid mengesahkan pemain tengah Portugal, Bernardo Silva menandatangani kontrak selama dua tahun sehingga 2028 selepas kontraknya bersama Manchester City berakhir.
- Bernardo Silva direkrut secara perpindahan percuma.
- Real Madrid aktif memperkukuh skuad selepas dua musim tanpa trofi, termasuk tandatangan Marc Cucurella.
- Pelantikan Jose Mourinho dipercayai memainkan peranan penting meyakinkan Silva memilih kelab itu.
- Di Manchester City, Silva beraksi 460 kali, 76 gol dan membantu meraih 19 trofi termasuk Liga Juara-Juara 2023.
Menerusi satu kenyataan kelab gergasi Sepanyol itu memaklumkan, Silva 31 tahun, ditandatangani secara perpindahan percuma.
“Real Madrid dan Bernardo Silva mencapai persetujuan untuk beliau menjadi pemain Real Madrid bagi tempoh dua musim akan datang sehingga 30 Jun 2028,” menurut kenyataan kelab itu.
Terdahulu, Real Madrid turut mengumumkan pemain terbaharunya, Marc Cucurella awal minggu ini, yang berpindah dari Chelsea FC dalam urus niaga bernilai €60 juta.
Real Madrid dilihat aktif memperkukuh skuad menjelang musim baharu selepas dua musim berturut-turut gagal memenangi sebarang trofi.
Kelab gergasi Sepanyol itu turut melantik semula Jose Mourinho sebagai ketua jurulatih bagi penggal kedua selepas pemergian Álvaro Arbeloa.
Selain itu, laporan media antarabangsa menyebut Real Madrid hampir memuktamadkan perpindahan Ibrahima Konate dan Denzel Dumfries pada musim panas ini.
Konate dijangka menyertai kelab itu secara percuma selepas meninggalkan Liverpool FC, manakala Dumfries dijangka tiba dari Inter Milan menerusi perpindahan bernilai €20 juta.
Presiden Real Madrid, Florentino Pérez, turut dilaporkan mengemukakan tawaran €150 juta bagi mendapatkan penyerang Atlético Madrid, Julián Álvarez, namun tawaran itu ditolak.
Silva sebelum ini turut menjadi buruan Atletico Madrid dan FC Barcelona, selain beberapa kelab dari Arab Saudi dan Major League Soccer (MLS).
Pelantikan Mourinho yang juga berasal dari Portugal dipercayai memainkan peranan penting dalam meyakinkan Silva memilih Real Madrid.
Silva memulakan karier profesional bersama SL Benfica sebelum berhijrah ke AS Monaco pada 2014 dan kemudian menyertai Manchester City pada 2017.
Sepanjang bersama City, beliau membuat 460 penampilan dan menjaringkan 76 gol dalam semua pertandingan, selain membantu kelab itu merangkul 19 trofi termasuk enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan satu gelaran Liga Juara-Juara Eropah pada 2023.
Di peringkat antarabangsa, Silva telah mengumpul 109 penampilan bersama Portugal dan membantu negaranya menjuarai Liga Negara-Negara UEFA pada 2019 dan 2025.
Ketika ini, beliau berada bersama skuad Portugal yang memulakan kempen Piala Dunia 2026 menentang DR Congo dalam aksi Kumpulan K.