Teo ucap tahniah pelantikan Tan Sri Nallini Pengerusi MMM

Foto FB Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menzahirkan ucapan tahniah kepada bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tan Sri Nallini dihormati sebagai tokoh kehakiman dengan pemikiran undang-undang progresif dan penuh nilai kemanusiaan.
  • Beliau pernah mengeluarkan pendapat berbeza penting: portal berita tidak harus dipertanggungjawabkan terhadap komen pembaca.
  • MMM kini badan kawal selia sendiri industri media; penting untuk menjaga kebebasan, integriti dan peranan wartawan sebagai tonggak demokrasi.

Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, Teo menyifatkan Tan Sri Nallini sebagai seorang tokoh kehakiman yang amat dihormati sepanjang perkhidmatannya.

Selain memiliki pemikiran undang-undang yang progresif serta penuh nilai kemanusiaan.

Menurut Teo, Tan Sri Nallini pernah mencatat sejarah apabila mengeluarkan pendapat berbeza dalam satu kes penting melibatkan kebebasan media.

Dalam keputusan itu, beliau menegaskan portal berita tidak seharusnya dipertanggungjawabkan terhadap komen pembaca.

Selain itu, beliau turut menonjolkan pendekatan berperikemanusiaan dalam kes berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak yang lahir di luar nikah, dengan menekankan tafsiran undang-undang yang lebih adil dan berbelas ihsan.

“Selepas lebih lima dekad usaha berterusan pelbagai pihak, termasuk melalui advokasi, petisyen dan dialog dasar, MMM akhirnya ditubuhkan pada tahun 2025 sebagai badan kawal selia kendiri industri media,” katanya.

Beliau menegaskan peranan wartawan amat penting dalam masyarakat moden sebagai tonggak keempat demokrasi, justeru kebebasan media perlu dipelihara tanpa campur tangan berlebihan daripada pihak kerajaan.

“Sehubungan itu, kawal selia kendiri adalah amat penting bagi memastikan integriti dan kebebasan industri media terus terjamin,” katanya.

Teo turut menyatakan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Tan Sri Nallini, MMM akan berkembang sebagai sebuah badan yang kukuh, bebas dan berwibawa dalam memperkasa serta melindungi industri media negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.